Berikut adalah kenyataan Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Mohamad Firdaus Khamis hari ini:
DAPSY Melaka dengan ini menyatakan keyakinan tinggi bahawa Pakatan Harapan (PH) Melaka, khususnya DAP, layak untuk diberikan 14 kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Keyakinan ini bukan berdasarkan spekulasi mahupun retorik politik semata-mata, sebaliknya disokong oleh data dan analisis terperinci daripada keputusan PRN yang lalu.
Ahli-ahli akar umbi DAP di semua peringkat telah menunjukkan iltizam dan kesatuan untuk memastikan kemenangan PH di Melaka.
DAPSY bukan sekadar bersuara, tetapi membawa fakta yang jelas – statistik dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) menunjukkan peratusan kemenangan calon-calon DAP adalah antara yang tertinggi dalam kalangan parti komponen PH pada PRN terdahulu.
Dengan rekod kerja yang kukuh dan jaringan jentera akar umbi yang berkesan, DAPSY Melaka khususnya bersedia untuk memperkukuh kehadiran PH di kawasan-kawasan strategik.
Justeru, rundingan pembahagian kerusi dalam semangat Kerajaan Perpaduan perlu mengambil kira kekuatan ini demi memastikan kemenangan bersama.
Kerajaan Perpaduan yang wujud hari ini terbukti membawa manfaat kepada rakyat Malaysia, termasuk di Melaka.
Kestabilan politik yang dicipta membuka ruang kepada pelaburan yang lebih mapan, pemulihan ekonomi pasca-pandemik, serta dasar-dasar inklusif yang menekankan pembangunan seimbang di bandar dan luar bandar.
Kerajaan ini bukan sahaja menamatkan kemelut politik, tetapi juga meletakkan semula fokus kepada agenda rakyat pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup, dan kesejahteraan sosial.
DAPSY Melaka komited untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan dan mengangkat suara rakyat di peringkat negeri.
Kami menyeru semua pihak untuk melihat kepada kekuatan sebenar, bukan semata-mata kuota atau tradisi, tetapi berasaskan prestasi, perkhidmatan, dan kepercayaan rakyat yang terbukti melalui undi.
Bersama kita pastikan kemenangan Pakatan Harapan demi masa depan Melaka yang progresif, stabil dan bersatu.

0 Ulasan