Akhirnya rakyat boleh menilai siapa yang bohong selama ini - Akmal

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mengingatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa pertuduhan kes SRC 2.0 terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berpunca daripada dendam.

Menurut beliau, sehingga hari ini pihak pendakwaan masih gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi meneruskan perbicaraan, walaupun pertuduhan telah dibuat sejak zaman pentadbiran Pakatan Harapan pertama lagi.

“Jawapannya mudah sahaja. Kerana tiada apa-apa bukti kukuh untuk pihak pendakwaan ketika kerajaan PH 1.0 dahulu untuk melakukan pendakwaan, malah perbicaraan pun tidak dijalankan selama enam tahun. Dokumen pun sehingga ke hari ini belum dapat diperoleh.

“Mungkin ini satu pertuduhan yang bersifat dendam semata-mata kepada Datuk Seri Najib yang dianiaya selama ini,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Dr. Akmal turut membandingkan kes itu dengan isu National Feedlot Corporation (NFC) yang pernah hangat diperjuangkan oleh Rafizi, tetapi akhirnya tidak membawa kepada sabitan bersalah.

“Sama juga dengan kes lembu NFC dulu yang Rafizi canangkan satu Malaysia dahulu yang mana mahkamah putuskan tidak bersalah setelah beberapa tahun lamanya,” katanya.

Tambah beliau, rakyat kini sudah dapat menilai dengan lebih jelas siapa yang sebenarnya dianiaya dan siapa pula yang memutarbelit fakta.

“Akhirnya rakyat boleh menilai siapa yang dizalimi dan siapa yang membohong selama ini,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan