Jabatan Peguam Negara nafi sengaja tangguh perbicaraan kes SRC 2.0

 


Berikut adalah kenyataan media Jabatan Peguam Negara malam tadi:

Jabatan Peguam Negara mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Jun 2025 untuk melepaskan tanpa membebaskan Tertuduh Dato' Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak daripada tiga pertuduhan terhadap beliau dalam kes SRC kedua bagi kesalahan pengubahan wang haram harta milik syarikat SRC International Sdn Bhd melibatkan jumlah wang sebanyak RM27 juta.

Jabatan ini menyedari bahawa kes ini telah menarik perhatian umum kerana melibatkan mantan Perdana Menteri Malaysia dan sepanjang prosiding berada di hadapan Mahkamah, Jabatan ini telah mengambil tindakan menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang. Kes telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi pada 7 Februari 2019 dan telah ditetapkan untuk perbicaraan sebanyak lima kali pada bulan Jun 2020, bulan Julai hingga Ogos 2021, bulan Mac hingga April 2022, bulan September 2024 serta bulan April dan Mei 2025 di mana kesemua tarikh perbicaraan kes telah ditangguhkan atas sebab berikut:

(i) Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik Covid 19;

(ii) Permohonan pihak peguambela Tertuduh; atau

(iii) Permohonan pihak pendakwaan sendiri.

Permohonan penangguhan yang dibuat oleh pihak pendakwaan adalah kerana:

(i) Prosiding perbicaraan kes SRC pertama masih berjalan pada masa itu di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sehingga selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2023;

(ii) Dalam masa yang sama prosiding perbicaraan kes 1MDB juga telah bermula ketika kes SRC pertama masih belum selesai. Kedua-dua kes di atas melibatkan pemakaian sebahagian dokumen material yang akan digunakan dalam perbicaraan kes SRC kedua.

Memandangkan dokumen berkenaan adalah material untuk perbicaraan kes SRC kedua, pihak pendakwaan tiada pilihan lain kecuali terpaksa menunggu sehingga dokumen material berkenaan diperolehi iaitu sehingga prosiding perbicaraan kes 1MDB selesai. Perlu ditekankan bahawa dokumen material tersebut telah tersedia namun sedang digunapakai sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang masih sedang dibicarakan.

Pihak pendakwaan telah memohon untuk diberikan masa agar dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukakan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC kedua. Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi adalah untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara.

Namun demikian, Jabatan ini akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan akan meneliti dan mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

Jabatan ini menegaskan bahawa dakwaan pihak tertentu yang Jabatan ini menjalankan "pendakwaan cacat" adalah tidak berasas sama sekali. Jabatan ini sentiasa mengekalkan tahap dan kualiti tertinggi selaras dengan jangkaan rakyat.

Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut Perlembagaan Persekutuan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan.




Catat Ulasan

0 Ulasan