SIS Forum jangan guna lagi perkataan 'Sisters in Islam' - Sultan Selangor

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.

Baginda senada dengan isi kandungan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam, berhubung keputusan terbaharu ini.

Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan 'Islam' dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

"Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan 'Sisters in Islam' ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan 'Islam' tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut," jelas satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Selangor Royal Office semalam.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan