Najib tak pernah minta dibebaskan tanpa bicara

 


Berikut adalah hantaran Facebook Najib Razak semalam:

Dato’ Sri Najib Razak telah didakwa bagi kes SRC 2.0 ini pada 13 Mac 2019 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang kononnya berlaku pada tahun 2014.

Tetapi selama lebih 6 tahun 5 bulan, kes ini tidak pernah dibicarakan. 

Mahkamah telah menetapkan lebih 20 tarikh pengurusan kes dan 5 set tarikh perbicaraan, namun hampir semua penangguhan datang daripada pihak pendakwaan sendiri kecuali sekali dari pembelaan.

Antara sebab diberi untuk penangguhan termasuklah menunggu keputusan kes-kes lain di mahkamah serta pertimbangan terhadap representasi yang dikemukakan oleh tertuduh.

Pada 11 Jun 2025, pihak pendakwaan secara rasmi mengakui mereka masih belum bersedia untuk meneruskan kes ini. 

Mereka juga memohon tarikh perbicaraan yang lebih lewat dengan alasan masih belum selesai mengumpul bukti - walaupun sudah lebih separuh dekad diberikan masa.

Pihak pendakwaan kata mereka masih belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, dengan alasan dokumentasi dan bukti masih belum lengkap dan memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan bahan bukti (807 eksibit, kenyataan saksi).

Lebih penting, pendakwa raya sendiri mengaku di mahkamah bahawa mereka tidak akan terjejas jika mahkamah membenarkan permohonan supaya Najib dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyebut:

1. “Pertuduhan tidak boleh tergantung tanpa perbicaraan untuk tempoh yang tidak tentu. Itu adalah tidak adil dan menyalahi undang-undang.”

2. “Penangguhan demi penangguhan menunjukkan penyalahgunaan proses mahkamah.”

3. “Pendakwaan sendiri belum bersedia dan tidak mempunyai bukti lengkap untuk meneruskan kes.”

Maka mahkamah memutuskan untuk memberikan perintah DNAA, dengan menyatakan bahawa tiada sebab munasabah untuk mengekalkan pertuduhan tanpa tarikh perbicaraan yang pasti, sedangkan ia telah tertangguh sejak 2019.

Kes ini membuktikan satu perkara penting - keadilan bukan hanya untuk pihak pendakwaan, tetapi juga untuk individu yang berdepan pertuduhan. 

Tidak kira siapa pun tertuduh itu, dia berhak mendapat perbicaraan yang adil, tepat waktu, dan berdasarkan bukti.

Najib tidak pernah minta untuk dibebaskan tanpa bicara. 

Dia hanya minta haknya untuk dibicarakan dengan adil - bukan ditangguh tanpa kesudahan.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan