Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menempelak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Indera Mahkota, Ahmad Saifullah Razali kerana didakwa tidak memahami kesan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada rakyat berpendapatan rendah.
Beliau berkata, dakwaan Ahmad Saifullah yang mempertahankan kenyataan kononnya SST hanya menyasarkan golongan berada adalah tidak berasas kerana barangan asas yang digunakan oleh rakyat marhaen juga turut terkesan.
“Wahai Ts Ahmad Saifullah, faktanya adalah SST dikenakan kepada santan dan biskut, maka santan dan biskut sudah tentu akan ada kenaikan harganya.
“Kamu boleh rujuk kepada senarai barangan yang dikenakan SST yang telah dikeluarkan ya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr. Akmal, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SST hanya dikenakan ke atas barangan golongan kaya tidak berpadanan dengan realiti yang berlaku.
“Walaupun PMX kata SST hanya untuk orang kaya tetapi kamu tahu tak yang santan dan biskut ni orang miskin pun guna. Jadi ini bukan retorik politik, tetapi fakta!
“Kamu je yang malas membaca dan buat-buat tidak faham,” katanya lagi.
Dr. Akmal turut mengingatkan Ahmad Saifullah agar menunjukkan kualiti kepimpinan dengan berpegang kepada fakta.
“Nak jadi pemimpin ni jangan malas membaca dan jangan kuat sangat mengampu ya,” tegasnya.
0 Ulasan