Ketua Pemuda MCA Pahang disiasat kerana kritik arahan SKMM

 


Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun telah memberi keterangan kepada polis hari ini berhubung video yang mempersoalkan arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta syarikat telekomunikasi menyerahkan data pengguna.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, Siew Mun yang diiringi peguamnya, Kamarudin Ahmad memberi keterangan mulai pukul 11.15 pagi hingga 1.15 petang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Saya dimaklumkan bahawa Siew Mun sedang disiasat dibawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan telefon bimbitnya turut dirampas," jelasnya.

Ka Siong menambah, Pengerusi Biro Penerangan MCA merangkap Setiausaha Agung Wanita MCA, Chan Quin Er, bersama-sama dengan kepimpinan Pemuda MCA dan pakar perundangan, turut hadir di Bukit Aman sebagai tanda solidariti bersama Siew Mun.

"Siew Mun dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan berkaitan video beliau yang memetik laporan South China Morning Post dan mempersoalkan niat disebalik arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data pengguna.  

"MCA akan terus berdiri teguh bersama beliau, dan sedia memberi bantuan guaman kepadanya demi mempertahankan hak kebebasan bersuara rakyat!" tegasnya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan