Keputusan mahkamah memihak NFC turut bersihkan nama Najib

 


Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada National Feedlot Corporation (NFC) turut membersihkan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Najib dahulu menjadi mangsa fitnah berkaitan NFC yang didalangi pembangkang ketika itu.

"Baru tadi, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Public Bank membayar ganti rugi sebanyak RM90 juta kepada syarikat NFC.

"Dengan keputusan mahkamah ini serta keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini - bukan sahaja nama NFC yang berjaya dibersihkan dalam kes ini, tetapi nama Najib turut dibersihkan juga yang ketika itu turut menjadi mangsa fitnah utama dengan segala serangan bertubi-tubi," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Public Bank membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada NFCorp dan empat yang lain kerana melanggar kontrak kerahsiaan sehingga maklumat sulit akaun mereka bocor pada 2012.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan jumlah tersebut secara sebulat suara pada prosiding taksiran ganti rugi hari ini.

Hasnah yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abu Bakar Jais memerintahkan RM30 juta masing-masing dibayar bagi ganti rugi saksama, teruk dan teladan.

Mahkamah turut memberikan kos RM300,000 dan faedah dua peratus dibayar ke atas jumlah ganti rugi bermula hari ini sehingga keseluruhannya diselesaikan.

Pada 26 Mei lalu, panel itu menolak rayuan akhir Public Bank untuk mengetepikan saman NFCorp berhubung liabiliti bahawa bank itu melanggar kontrak sehingga maklumat sulit akaun mereka bocor, 14 tahun lalu.

Pada 22 Mei 2012, plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank atas pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Perayu menyatakan, maklumat akaun bank yang bocor itu digunakan oleh Naib Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menguatkan dakwaan bahawa plaintif memanfaatkan pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan