Aktiviti di permukaan bukan punca letupan paip gas Putra Heights - JKKP

 


Berikut adalah kenyataan media Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini:

Pada 1 April 2025, sekitar jam 8.08 pagi, berlaku insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. Kejadian ini menjejaskan keselamatan awam, merosakkan infrastruktur, dan menyebabkan gangguan bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia telah menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984. Proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas, serta pengambilan sampel untuk analisis makmal.

Hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan. Namun begitu, bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah (unsupported segment) yang dikenal pasti lembut dan lembap. Ini mengakibatkan kegagalan fizikal (physical failure) pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar.

Tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali (cyclic loading), yang menimbulkan tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip. Analisis metalografi menunjukkan tensile overload menjadi punca utama kegagalan. Kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile (ductile failure) yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran.

Kesimpulannya, kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup. Lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah, tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong dengan baik.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan