Apa sebenarnya yang berlaku pada Petronas?

 


Berikut adalah kenyataan media Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh pada 6 Jun lalu:

1. Saya memandang serius laporan mengenai keputusan PETRONAS untuk mengurangkan sebanyak 10% daripada tenaga kerjanya berikutan kemerosotan keuntungan sebanyak 32% pada tahun 2024, selepas penurunan 21% pada tahun sebelumnya. 

2. ⁠Ini bukan isu kecil atau sekadar soal pengurusan sumber manusia biasa – ini isu besar melibatkan sebuah syarikat milik negara yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia selama berdekad-dekad.

3. ⁠PETRONAS bukan syarikat biasa. Ia adalah lambang kejayaan industri minyak dan gas negara serta institusi yang menjadi penyelamat kepada fiskal negara dalam banyak keadaan. 

4. ⁠Syarikat ini telah mengharungi pelbagai cabaran global sebelum ini – termasuk kejatuhan harga minyak, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar tenaga – namun tetap berjaya berdiri kukuh.

5. ⁠Kita faham bahawa dunia sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global. Sifat ekonomi yang sentiasa berubah menuntut syarikat mengambil langkah berani dan reaktif demi kelangsungan. 

6. ⁠Namun ini PETRONAS – bukan syarikat kecil. Ia telah melalui zaman lebih mencabar sebelum ini tanpa perlu mengambil tindakan sebesar ini.

7. ⁠Sebagai contoh, pada tahun 2016 ketika harga minyak jatuh ke paras sekitar USD44 setong, PETRONAS hanya mengurangkan kira-kira 1,000 pekerja. Kini, dengan purata harga minyak pada USD65 setong (2025), mengapa pengurangan kali ini mencecah 5,000 pekerja, iaitu 10% daripada keseluruhan tenaga kerja? 

8. ⁠Mengapa keuntungan PETRONAS terus merosot walaupun harga minyak kekal stabil dan tinggi? Apakah pengurusan operasi dan pelaburan syarikat hari ini benar-benar berada di landasan yang betul?

9. ⁠Malah, pada tahun 2020, ketika harga minyak juga rendah (sekitar USD40), tindakan seumpama ini tidak diambil. Ini menimbulkan persoalan besar. Adakah benar-benar harga minyak menjadi punca utama kali ini, atau ada faktor lain yang tidak didedahkan kepada rakyat?

10. ⁠Tambahan pula, jika sebelum ini kadar tukaran USD kepada Ringgit pada paras 3.80 dianggap petanda ekonomi negara sedang lemah, adakah sekarang, dengan kadar tukaran mencecah 4.75, kerajaan masih mahu meyakinkan rakyat bahawa ekonomi kita dalam keadaan baik?

11. ⁠Kenyataan bahawa ekonomi negara sedang pulih dan berada di landasan yang betul kini kelihatan tidak selari dengan realiti di lapangan, termasuk keputusan drastik seperti yang diambil oleh PETRONAS.

12. ⁠Nasib lebih 5,000 pekerja yang dijangka terjejas tidak boleh dipandang ringan. Mereka bukan sekadar statistik. Mereka adalah ibu, bapa, anak muda, pencari nafkah utama dalam keluarga. Soal rezeki dan masa depan mereka harus dibela.

13. ⁠Sehubungan itu, saya mendesak perkara berikut:

 (a) Kerajaan perlu segera campur tangan dan memastikan kebajikan semua pekerja yang terlibat dijaga sebaiknya, dengan pendekatan yang adil dan berperikemanusiaan.

 (b) Audit menyeluruh dan laporan telus mengenai kedudukan sebenar PETRONAS perlu dibentangkan kepada rakyat, memandangkan ia adalah entiti milik negara.

 (c) Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia perlu tampil dengan pelan mitigasi dan sokongan konkrit, termasuk latihan semula dan penempatan pekerjaan bagi mereka yang terkesan.

 (d) Satu sesi libat urus antara PETRONAS, kerajaan, dan kesatuan pekerja perlu diadakan segera, bagi memastikan sebarang langkah penstrukturan tidak dilaksanakan secara sepihak tanpa pertimbangan sosial yang wajar.

14. Sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya tegaskan – kerajaan tidak boleh berlepas tangan. PETRONAS adalah milik rakyat. Keputusan yang melibatkan ribuan keluarga perlu disusuli dengan kebertanggungjawaban dan keprihatinan yang tinggi.

Jika PETRONAS mula bergoncang, maka gegarannya akan dirasai oleh seluruh negara.



Catat Ulasan

0 Ulasan