Berikut adalah kenyataan media Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini:
Saya menyelar sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu pergaduhan yang melibatkan dua orang murid di sebuah sekolah di Terengganu baru-baru ini.
Fitnah mengaitkan ibu kepada salah seorang murid terlibat dengan saya adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
Saya tidak pernah mengenali individu tersebut.
Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil tindakan ke atas kes ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Buli dan Salah Laku yang sedang berkuat kuasa.
Sebagai langkah susulan, saya turut mengarahkan Unit Integriti Kementerian untuk melakukan siasatan lanjut.
Saya mengikuti rapat perkembangan isu ini dan mahu ianya diselesaikan segera.
KPM tidak berkompromi dengan buli dan perbuatan salah laku lain.
Tindakan tegas mesti diambil ke atas sesiapa sahaja yang bersalah.
Semua institusi pendidikan mesti dipastikan berada dalam keadaan selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga.
0 Ulasan