Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berhubung isu titah adendum.
Muhammad Shafee berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas permintaan Najib untuk membuat laporan dari dalam penjara tidak dibenarkan.
“Sebelum ini, Najib telah meminta kebenaran untuk membuat laporan polis sama ada di dalam penjara atau dengan bantuan pihak penjara bagi membuat laporan di IPD Kajang.
“Namun, permohonan itu tidak mendapat maklum balas positif. Oleh itu, beliau telah mengarahkan saya untuk membuat laporan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, laporan tersebut dibuat di bawah Seksyen 204 dan Seksyen 209 Kanun Keseksaan dan berkait rapat dengan dakwaan mengenai kewujudan titah adendum.
“Kesalahan-kesalahan yang didakwa dalam laporan itu adalah berkaitan dengan titah adendum.
"Saya tidak akan mengulas lebih lanjut kerana laporan ini adalah dokumen siasatan,” tambahnya.
Pada 29 Mei lalu, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar tujuh surat bagi mendapatkan pengesahan mengenai dokumen berkenaan, namun masih belum menerima sebarang jawapan rasmi.
Surat-surat itu dihantar kepada Ahmad Terrirudin selaku Peguam Negara ketika itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Pengarah Penjara, namun tidak ada satu pun yang dibalas atau disahkan penerimaannya.
0 Ulasan