Berikut adalah kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa hari ini:
Esok, insya-Allah, YAB Perdana Menteri akan hadir untuk Majlis Pecah Tanah Kota MADANI Putrajaya.
Sejak pengumuman awal tempoh hari, saya perhatikan banyak persoalan dan salah tanggapan timbul. Jadi, saya nak betulkan sedikit dengan fakta sebenar.
Tanggapan 1: Kota MADANI akan gantikan Putrajaya?
Fakta: Tidak. Kota MADANI hanyalah sebahagian kecil dalam Putrajaya, bukan pengganti. Kawasannya cuma seluas 102 ekar, iaitu 0.8% daripada keseluruhan Putrajaya, dan terletak di Presint 19.
Tanggapan 2: Ini membazir duit rakyat?
Fakta: Tak betul. Ia dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan konsep BLMT (Build-Lease-Maintain-Transfer) oleh Putrajaya Holdings. Kos pembangunan RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan. Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik Kerajaan.
Tanggapan 3: Perlu ke bina Kota MADANI ni?
Fakta: Perlu. Kota MADANI akan sediakan 10,000 unit kuarters baharu untuk penjawat awam. Hari ini ada lebih 17,000 permohonan kuarters yang belum dapat dipenuhi kerana kekurangan unit sedia ada. Ini bukan soal kehendak, tapi soal keperluan.
Tanggapan 4: Kenapa guna nama MADANI?
Fakta: MADANI bukan label politik. Ia adalah nilai tentang kemanusiaan, keseimbangan, keadilan dan kelestarian. Kota MADANI ini dibangunkan selari dengan visi Bandar CHASE, iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam. Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini.
Bagi saya, penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan yang baik. Dan Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan. Jangan terus kelirukan rakyat dengan naratif yang salah.
0 Ulasan