Badan Peguam amat bimbang kemungkinan campur tangan urusan kehakiman

 


Berikut adalah kenyataan media Badan Peguam Malaysia hari ini:

Badan Peguam Malaysia amat bimbang dengan laporan media baru-baru ini yang mendakwa seorang hakim kanan telah disoal oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mengenai kemungkinan berlaku campur tangan dalam urusan kehakiman. 

Sekiranya laporan ini benar, ia menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan kebebasan badan kehakiman kita—sebuah institusi yang mesti kekal bebas daripada sebarang bentuk pengaruh atau manipulasi.

Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa dakwaan campur tangan kehakiman ini bukan sekadar isu tatatertib biasa. Ia menyentuh teras kepercayaan awam terhadap sistem pentadbiran keadilan negara. Isu ini bukan sahaja mengenai kepatutan tindakan tersebut, malah turut menyentuh aspek struktur dan kebebasan institusi kehakiman secara keseluruhannya. 

Oleh itu, demi akauntabiliti awam dan ketelusan, Badan Peguam Malaysia akan mendapatkan perintah mahkamah yang diperlukan untuk memperolehi minit mesyuarat JAC tersebut. 

Tindakan ini perlu bagi memastikan fakta sebenar diperoleh, menjaga integriti institusi, serta memastikan langkah pembetulan sewajarnya dapat diambil tanpa menjejaskan undang-undang.

Kebebasan kehakiman adalah sesuatu yang tidak boleh dirunding. Ia merupakan jaminan perlembagaan dan salah satu tunggak penting dalam sistem demokrasi negara. 

Sebarang tindakan - sama ada benar-benar berlaku atau sekadar persepsi - yang menjejaskan prinsip ini perlu ditangani segera dan dengan penuh ketelusan. Sekiranya laporan tersebut tidak benar, penjelasan juga harus segera diberikan bagi mengelakkan kerosakan tidak wajar kepada reputasi institusi kehakiman.

Badan Peguam Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat supaya menangani perkara ini dengan serius. Kami juga sekali lagi menegaskan komitmen kami terhadap prinsip kedaulatan undang-undang serta perlindungan kebebasan kehakiman tanpa rasa takut mahupun pilih kasih.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan