Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai kemenangan untuk rakyat Malaysia khususnya penduduk Muar.
Namun, kata parti berkenaan, kejayaan itu bukan pengakhiran perjuangan.
Katanya, keputusan itu adalah pencetus kepada gelombang yang akan terus melawan ketidakadilan dan gerakan yang akan terus berkhidmat demi negara.
"Sokongan dan doa anda selama ini telah memberi YB Syed Saddiq semangat untuk terus menempuh dugaan yang dihadapi tanpa lesu.
"Terima kasih, Malaysia," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan bekas Ketua Armada tersebut.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Noorin ketika membacakan keputusan itu antara lain berpendapat bahawa pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapi oleh Syed Saddiq adalah tidak berasas.
Katanya, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan dari dana Armada.

0 Ulasan