Berikut adalah kenyataan media Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid hari ini.
Perikatan Nasional (PN) semakin lantang menuntut agar Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan — namun hingga ke hari ini, mereka masih gagal menyatakan dengan jelas siapa calon Perdana Menteri yang layak menggantikan beliau.
Tindakan mengkritik tanpa menawarkan penyelesaian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan ketiadaan kredibiliti dan ketandusan kepimpinan dalam kalangan mereka yang bercita-cita mentadbir negara.
Masih segar dalam ingatan rakyat — setiap kali pembangkang memainkan isu mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, setiap kali itulah juga mereka gagal dan tidak berani membawa usul undi tidak percaya dalam Parlimen. Kalau benar yakin dan berani, bawalah usul tersebut secara rasmi! Jangan hanya bermain sentimen di luar Dewan.
Kami juga dimaklumkan bahawa Pemuda PAS bercadang mengadakan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini. Saya ingin mencadangkan kepada mereka — bawa sekali calon Perdana Menteri Perikatan Nasional dan kemukakan pelan pentadbiran yang jelas kepada rakyat. Lebih baik lagi, lakukan roadshow ke seluruh negara, jangan hanya berhenti pada protes jalanan tanpa naratif. Atau sebenarnya, Perikatan Nasional sendiri sedang berdepan perebutan kepimpinan dalaman, hingga tak mampu menamakan satu tokoh yang diyakini rakyat?
Hakikatnya, hanya Kerajaan Perpaduan yang hari ini mempunyai barisan pemimpin yang berwibawa, berpengalaman, dan diterima di dalam serta luar negara untuk menerajui Malaysia dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula kekal komited memacu reformasi ekonomi dan sosial, dengan pencapaian nyata termasuk:
• Pengukuhan nilai Ringgit dan aliran pelaburan asing tertinggi dalam sejarah negara
• Peningkatan hasil cukai (LHDN dan Kastam) serta usaha mengurangkan ketirisan fiskal
• Reformasi subsidi bersasar dan dasar pengukuhan jaringan keselamatan sosial rakyat
• Pelaksanaan dasar ekonomi MADANI yang menekankan keadilan, peluang dan kestabilan
Jika Perikatan Nasional benar-benar serius mahu “mengambil alih” kerajaan, rakyat berhak tahu siapa calon Perdana Menteri mereka, dan apakah dasar ekonomi serta halatuju negara yang mereka tawarkan.
Tanpa itu, laungan agar Perdana Menteri turun hanyalah retorik kosong — sekadar mengalihkan perhatian daripada kerapuhan dalaman dan kegagalan membina alternatif yang meyakinkan.
Rakyat Malaysia perlukan kestabilan dan hala tuju yang jelas — bukan sandiwara kuasa tanpa pelan.
0 Ulasan