Ucaptama Maszlee dibatal kerana tiada tauliah ajar agama di Johor

 

Berikut adalah kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini:

Saya telah diundang untuk memberi ucaptama di salah sebuah IPTA di Johor tentang inovasi dari kerangka ‘Ihsan’ yang merupakan salah satu tonggak MADANI.
Malangnya sesi saya dibatalkan kerana pihak berkuasa agama mengatakan saya tiada tauliah untuk mengajar agama di negeri Johor!
Saya tidak perasan bila pula tajuk inovasi dan ihsan (MADANI) masuk dalam kategori kuliah agama?
Bila pulakah IPTA tidak boleh mengadakan wacana akademik apatah lagi tentang Agenda MADANI kerajaan kecuali dengan tauliah mengajar agama?
Jika ceramah agama dan kuliah agama umum atau di masjid memang bukan keminatan dan bukan medan saya…
Itu saya faham dan maklum, dan saya tiada masalah dengan perkara tersebut.
Malah, beberapa pihak dan negeri pernah mengundang saya ke program keagamaan samada ceramah atau forum di khalayak pun saya terpaksa menolak dengan baik kerana saya tidak berminat, kecuali ianya dalam Bahasa Arab ataupun Bahasa Inggeris, itupun jika dianjurkan oleh institusi akademik sahaja.
Saya akur bahawa persoalan hukum-hakam dan wacana agama merupakan medan para asatizah dan agamawan, bukannya medan saya lagi. Saya sudah lama meninggalkan ruang tersebut.
Tetapi wacana akademik di menara gading yang sepatutnya mempunyai autonomi?
Ini satu yang baharu bagi saya.
Mungkin selepas ini perlu ada pemisahan jelas antara ruang akademik dan politik, dengan bidang kuasa pihak berkuasa agama di dalam apa-apa aktiviti dan ruang akademia.
Ini perlu agar pihak berkuasa agama tidak dibebankan dengan polemik akademia dan juga perbincangan politik yang menjangkaui bidang kuasa dan bidang kefahaman mereka.
Terbayang saya bagaimana ketika saya diundang ke Oxford, University of Tehran, Hankuk University Korea, Durham University, Georgetown University US, Goethe University, Tsin Hwa University Peking, Moscow dan lain-lain universiti terkemuka dunia, tidak pula timbul isu pihak berkuasa agama mereka menghalang mantan menteri, ahli politik dan mantan ahli akademik seperti saya menyampaikan wacana akademik di dalam universiti di atas alasan tiada tauliah mengajar agama! 🤣🤣🤣
Jangan salah sangka, saya tidak terkilan dan tidak terkesan apatah lagi kesal pun dengan perkara ini. Cuma saya sedang menahan diri dari terbahak menyaksikan kelucuan lelukon ini sahaja.
Surely, we never fail to entertain the world with our perfectly subtle imbecility…
Wallahua’lam




Catat Ulasan

0 Ulasan