Berikut adalah kenyataan media Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam:
Israel bertindak sebagai pengganas dengan melakukan genosid ke atas Palestin, kemudiannya menyerang Iran. Manakala tindakan Amerika Syarikat menyerang beberapa lokasi strategik Iran malam tadi, mengeruh serta menyeramakkan lagi ketegangan di Asia Barat dan berisiko menjadi tidak terkawal.
Tindakan ketenteraan unilateral oleh mana-mana kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat, bukan sahaja menyalahi prinsip undang-undang antarabangsa, tetapi juga mengheret rantau Asia Barat ke arah konflik berskala besar yang mengancam keselamatan jutaan nyawa, termasuk rakyat awam yang tidak berdosa.
Serangan ini juga dilihat sebagai agenda berterusan geopolitik Amerika Syarikat yang memihak secara membuta-tuli kepada Israel, walaupun dunia antarabangsa menyaksikan pencabulan hak asasi kemanusiaan yang berterusan oleh negara itu di bumi Palestin.
Perikatan Nasional mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
Dalam keadaan sekarang, Iran mempunyai sepenuhnya hak untuk bertindak balas dan mempertahankan diri daripada keganasan mana-mana negara.
Perikatan Nasional menuntut kerajaan Malaysia agar lebih tegas dan lantang menyatakan pendirian dengan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang bagi menghentikan tindakan Israel dan Amerika Syarikat, di samping menegakkan undang-undang antarabangsa.
Malaysia juga perlu segera bekerjasama dengan 'like-minded countries' (negara-negara yang mempunyai pendirian sama) dalam menangani krisis ini secara adil dan saksama.
0 Ulasan