Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd. Khalid Mohd. Ismail, merupakan ahli mana-mana parti politik tempatan sebagaimana dilaporkan Sinar Harian baru-baru ini.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, laporan yang diterbitkan itu adalah tidak benar, mengelirukan dan mencetuskan persepsi yang salah terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“Pejabat ini mengesahkan bahawa YDH Datuk Seri Hj. Mohd Khalid bin Hj. Ismail tidak pernah menjadi ahli, mahupun memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik sebagaimana yang didakwa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Sinar Harian dalam kenyataannya memaklumkan, kakitangan yang terlibat dalam insiden itu telah digantung tugas dan siasatan dalaman akan dijalankan.
Menurut beliau, PDRM memandang serius kesalahan tersebut kerana ia bukan sahaja mencalarkan reputasi Ketua Polis Negara, malah turut memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat terhadap pasukan polis.
“PDRM juga menegur keras kecuaian media berkenaan dalam menerbitkan maklumat yang tidak disemak secara teliti dan telah mencalarkan reputasi pasukan serta individu,” katanya.
Beliau menegaskan, etika kewartawanan seharusnya menuntut setiap laporan yang dikeluarkan perlu melalui proses semakan fakta, pengesahan silang serta menjunjung integriti dalam penulisan.
“Pasukan ini berdiri atas asas neutraliti, integriti dan profesionalisme. Justeru, PDRM tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pasukan ini,” katanya.
Tambah beliau, PDRM kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan memelihara ketenteraman awam.
0 Ulasan