Menteri Agama kesal insiden pakcik dihalau dari surau

 

Berikut adalah kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar semalam:

Saya mengikuti insiden tular membabitkan seorang jemaah lelaki yang dihalau keluar dari surau selepas menunaikan solat Subuh.

Pertama sekali, saya ingin menzahirkan rasa sedih dan kecewa atas layanan yang diterima oleh individu tersebut, yang difahamkan merupakan ayah kepada pendakwah Al-Fadhil Ustaz PU Azhar Hilmi.

Surau dan masjid adalah rumah Allah, tempat berlindung jiwa, menenangkan hati dan mendekatkan diri kepada-Nya bukan ruang eksklusif yang dikawal tanpa hikmah dan timbang rasa.

Amalan beriktikaf, membaca al-Quran dan menunggu waktu solat Dhuha adalah satu bentuk ibadah yang mulia, bahkan sangat digalakkan dalam Islam. Maka tindakan menghalau seorang jemaah yang berada dalam keadaan beribadah tanpa menimbulkan gangguan adalah tidak wajar dan bertentangan dengan semangat rahmah, adab dan ihsan yang seharusnya menjadi budaya dalam pengurusan institusi surau dan masjid.

Saya menyeru kepada semua pihak agar sentiasa mengamalkan pendekatan penuh hikmah, lemah lembut dan menghormati para jemaah, khususnya warga emas yang tekun beribadah. Sebarang tindakan pencegahan terhadap isu keselamatan atau pengurusan mesti dilaksanakan dengan adab, komunikasi berhemah dan bukan dengan mengaibkan.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa menjaga rumah Allah bukan semata-mata menjaga struktur bangunan, tetapi lebih utama menjaga suasana spiritual, akhlak dan keharmonian dalamnya. Islam mengajar kita "rahmatan lil ‘alamin", dan tidak ada tempat yang seharusnya lebih mencerminkan kasih sayang ini selain daripada rumah-rumah Allah SWT.

Akhir kata, saya menyeru semua pihak untuk memperbetul keadaan ini dengan semangat islah dan saling memaafkan, agar maruah dan kehormatan rumah Allah kekal terpelihara, dan jemaah terus merasa selamat serta dialu-alukan.

Kita jaga surau, tapi jangan sampai lupa jaga adab dan hati manusia.




Catat Ulasan

0 Ulasan