Berikut adalah hantaran Facebook Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar semalam:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكاتُهُ
Gambar pertama semasa pertemuan bersama saudara Muneeb di Madinah, bukan di Makkah.
Beliau berkongsi perkembangan terkini graduan Malaysia di Madinah.
Gambar kedua, tempat tinggal kami yang berdekatan dengan kawasan khemah warganegara Malaysia di Mina. Alhamdulillah.
Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan.
Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah.
Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah Haji yang lain.
Di Madinah, kami juga sempat menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt, dan juga Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin - suatu pengalaman yang sangat menyentuh hati.
Paling bermakna, dapat melaksanakan ibadah Haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama kita.
Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, janganlah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia.
Eid Adha Mubarak.
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

0 Ulasan