PH Selangor mahu Amirudin kekal MB

 


Berikut adalah kenyataan media Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor semalam:

Kami mewakili parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi agar YAB Dato’ Seri Amirudin Shari kekal selaku Dato’ Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran ini.

Sokongan ini adalah selaras dengan keperluan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor stabil dan kukuh bagi melaksanakan pelbagai kebijakan serta dasar yang telah direncana antaranya Rancangan Selangor Kedua, pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, Kompleks Stadium Shah Alam serta pelbagai lagi. Kesinambungan kepimpinan utama negeri akan memberi mesej positif kepada para pelabur dan komuniti peniagaan di Selangor.

Selain itu, kami juga berpandangan kepimpinan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Pakatan Harapan Selangor amat diperlukan bagi memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. Pengalaman dan kepimpinan beliau adalah kunci kepada kesepaduan yang telah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihanraya Negeri yang lalu.

Selaku seorang pentadbir yang berpengalaman, kami juga berpandangan khidmat YAB Dato’ Seri Amirudin Shari turut diperlukan di Selangor bagi membantu memastikan Selangor terus kekal menjadi gedung ekonomi negara sekaligus menjayakan agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim.

YB TUAN NG SZE HAN

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Pengerusi DAP Selangor 

YB DATO' IZHAM BIN HASHIM

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Pengerusi AMANAH Selangor  

YB DATUK BORHAN BIN AMAN SHAH

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Naib Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan