Berikut adalah kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar hari ini:
Saya mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada hari ini yang telah memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam cabaran terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014.
Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara.
Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang. Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah.
Maka itu, kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita.
Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.
Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.
The public will believe anything...
0 Ulasan