Surat Syeikh Taha Jabir kepada Anwar

 


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

Yang dikasihi saudara Abu Ihsan

Pemimpin Besar Reformasi-Islah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Saya doakan anda sihat dan sentiasa berada dalam keadaan baik. Saya juga mengharapkan anda sedang menuju ke asrah keadaan yang lebih baik. Semoga Allah akan segera melepaskan kita semua dari segala kesulitan ini dengan menyelamat, melindungi dan membebaskan anda dari segala percubaan jahat musuh-musuh yang terdiri daripada pelbagai jenis syaitan - JIN dan MANUSIA.

Saudara yang dikasihi,

Saya sungguh sedih tidak dapat menemui anda dan tidak mendengar suara anda sejak kita berpisah pada pertengahan September 1998 sehingga hari ini. Demikianlah, Ramadhan al-mubarak berlalu tanpa kesempatan bertemu atau memberi ucap selamat. Begitu pula setelah menyusul 'Id al-fitr, anda masih terus terkurung dalam jerjak-jerjak besi penjara. Bagaimanapun dapat juga saya mendamaikan hati dengan  mebayangkan bahawa anda sebenarnya sedang berjalan menapak jejak para pejuang islah (al-muslihin) sebelum anda. Memang, sesungguhnya anda  sedang menempuhi jalan yang dilalui oleh para anbiya' dan muslihin yang pernah tampil dalam sejarah  kemanusiaan. Mereka, sama ada yang disebut atau yang tidak disebut dalam al-Quran semuanya telah menempuh tribulasi, baik sendirian atau pun secara kolektif bersama umat mereka sekali. Demikianlah ketentuan sunnatullah dalam kehidupan duniawi ini. Untuk dapat berdiri tegak di bumi, ternyata tidak mudah. Ia harus dicapai menerusi ranjau-ranjau ujian dan tribulasi.

"Alif Lam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman", sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang orang  yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." al-Ankabut  1:3

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu ujian dan dugaan, seperti yang berlaku kepada  orang-orang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan, kemusnahan harta benda dan serangan penyakit berjangkit serta digoncangkan oleh ancaman bahaya dan musuh sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya, "Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah." al-Baqarah 214

Sunnatullah yang sedemikian itu adalah abadi, terus menerus berlaku di sepanjang sejarah - orang-orang mukmin diuji dengan aniaya musuh-musuhnya yang terdiri daripada orang munafiqin, musyrikin dan golongan perosak di bumi (al-mufsidin fi al-ard). Tujuannya adalah untuk menyaring  orang-orang mukmin, memberikan pengalaman kepada mereka, menyediakan mereka memikul beban berat serta memberikan ketahanan menanggung derita tribulasi. Kerana sesungguhnya beban melaksanakan Islah itu jauh lebih berat daripada derita ujian mempersiapkan para juru Islah memikul tanggungjawab berat di hari muka.

Saudara yang dimuliakan,

Anda telah diuji dengan pesona dunia ketika anda menyertai kerajaan untuk melakukan pembaikan dari dalam. Ternyata goda pesona kuasa tidak sedikit pun mengubah anda atau membawa sebarang kesan kepada perilaku dan kemurnian peribadi anda. Telah terbukti bahawa anda tetap anda, manusia ikhlas dan tawadhuk, manusia muslim beriltizam dengan nilai-nilai agamanya, nilai-nilai ketinggian moral yang dibawa oleh para Rasul, berpegang teguh  dengan idealisme dan segala cita-cita unggulnya. Anda tidak pernah menyimpang dan tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan moral atau perilaku meskipun berada di puncak kekuasaan. Sebenarnya sudah cukup lama syaitan dan kuncu-kuncunya menunggu saat anda  berubah. Namun itu tidak pernah terjadi. Malah penantian mereka hanya membawa kepada kecewa dan putus asa kerana ternyata iman dan keyakinan anda tidak pernah goncang, moral dan perilaku anda anda juga tidak pernah goyah. Dengan demikian syaitan-syaitan itu menjadi marah dan sekali gus kecewa. Sejak itulah mereka bertekad untuk menghabisi anda dengan tidak lagi menyerah kepada faktor masa atau mengharapkan kemungkinan kuasa dan kemewahan yang mengitari anda akan menjadikan anda lupa daratan. Kali ini syaitan mengerahkan seluruh bala tenteranya mengeksploitasi apa jua kelemahan dan kecuaian musuhnya. Mereka pun mulalah melancarkan gerakan konspirasi jahat mereka dengan cuba memaksa anda berlembut dan mengalah.

Mereka mengharap-harap berkata, "Kalau ketegasan dan kemurnianku tidak juga dapat memelihara nama baikku, kenapa tidak aku menjadi seperti mereka sahaja!" seperti yang pernah dikatakan oleh Saidina Yusuf a.s., ".... dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka..." Yusuf 33. Tetapi anda tidak mengambil sikap demikian. Sebaliknya anda telah mempertahankan diri sebagaimana Aisyah mempertahankan dirinya

dalam peristiwa al-ijk (berita bohong). Beliau menyingkapinya dengan tabah dan sabar. Demikian jugalah anda telah bersabar. Malah iman dan kepasrahan anda kepada Allah SWT, keyakinan terhadap kesucian dan kemurnian diri anda menjadi kian mengental, lalu anda katakan kepada musuh-musuh anda itu,"Lakukan apa yang kalian mahu, katakan apa yang anda suka! Saya tetap tegak dan tegar sebagai hamba yang beriman dan manusia yang bertaqwa. Saya tidak pernah  dan tidak akan mengubah moral dan ilai-nilai murni saya."

Dalam situasi sedemikian ini berlaku pula tribulasi kegawatan ekonomi serantau yang meliputi juga Malaysia. Rupa-rupanya ia dilihat sebagai satu peluang bagi musuh musuh anda sehingga mereka hilang sabar, lalu terserlahlah niat jahat mereka. 

Seandainya tidak terjadi kegawatan ekonomi serantau itu, tentulah akan tertunda pertarungan sengit antara anda dengan gerombolan syaitan dan kuncu-kuncunya itu. Namun penundaan itu sama sekali tidak juga menguntungkan anda sebagaimana terbukti dari peristiwa-peristiwa  yang berlaku. Mereka merancangkan sesuatu, tetapi Allah menghendaki yang lain. Rupa-rupanya kegawatan ekonomi yang menimpa negara anda itu telah mendedahkan hakikat sebenarnya, siapa anda dan siapa pula mereka. Hingga ke saat tersebut musuh-musuh anda masih belum berputus asa sepenuhnya dari usaha menghancurkan anda. Mereka menyangka  bahawa setelah menabur fitnah dan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kemurnian dan kewibaan moral anda, maka anda akan berlembut dan seterusnya sedia tunduk kepada kemahuan dan tekanan mereka, terutamanya setelah kegawatan ekonomi mendorong mereka menyerlahkan niat dan tujuan sebenar mereka serta mendesak mereka menyatakan tuntutan untuk menguasai dan membolot kekayaan negara anda dan mengagih-agihkannya dalam kalangan sesama mereka sehingga akhirnya nanti seluruh kekayaan negara hanya akan berkisar dalam kalangan sekelompok opportunis dengan menafikan hak rakyat mendapatkan bahagian yang telah diperjuangkan selama bertahun-tahun melalui pelbagai strategi perekonomian dibawah petunjuk dan seliaan anda. Dalam situasi demikian itu anda telah tampil berdiri bersama rakyat kecil dan miskin untuk cuba mempertahankan hak dan hasil titik peluh mereka. Malangnya anda sendirian, sedang mereka adalah kelompok besar. Kerana itu mereka cuba menghancurkan anda. Lalu mereka gunakan cara dan gaya yang mereka warisi dari syaitan-syaitan yang terdahulu iaitu mencemarkan kehormatan dan menjatuhkan maruah dengan lemparan tuduhan keji yang pada hakikatnya tidak lain dari kekejian mereka sendiri. Mereka mengharapkan orang akan mahu mendengar dan percaya, lalu terjerutlah leher seorang manusia bersih iaitu anda sendiri, dengan tali nilai-nilai yang cuba diketengahkan dan dimantapkan di negaranya.

Mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu merupakan satu pukulan maut. Ketika anda diheret ke penjara pada malam itu - 20 September - yang diikuti dengan pukulan bertubi-tubi ke tubuh anda, tahukah anda khayalan apa yang berputar dalam benak syaitan?  Mereka menyangka anda akan menjadi mayat! Selama ini mereka biarkan anda dalam keadaan senang dan selesa. Tentunya anda akan menjadi amat lemah dengan pukulan pukulan kencang yang bertubi-tubi itu. Dan esok paginya mereka akan mengumumkan  setelah dikemukakan bukti-bukti nyata tentang pelbagai keburukan moral yang telah anda lakukan, anda menyesal dan malu lalu membunuh diri. Maka dengan itu tamat dan tertutuplah lembaran riwayat anda selama-lamanya. Dengan itu juga tertutuplah satu babak sejarah negara anda yang cukup gemilang.Tetapi sebenarnya babak itu tertutup dengan kesudahan yang tragik. Mereka tidak tahu bahawa keimanan anda,  keyakinan terhadap kesucian diri anda dan keunggulan idealisme anda serta perlindungan  Tuhan terhadap anda, semuanya itu tidak akan mengizinkan anda memberi kesempatan tersebut untuk rebah di hadapan mereka atau tersungkur dengan pukulan-pukulan mereka. Betapa dahsyatnya pukulan-pukulan yang memang telah mencederakan tubuh anda, namun ia tidak mungkin sampai menembusi hati dan nurani anda yang kental dengan iman itu.

Mereka benar-benar tidak menduga bahawa segala perancanaan dan usaha mereka mengupah saksi-saksi dusta bagi mereka perkara mudah dan murah dan tidak ada nilainya - tidak juga dapat mengubah ketegasan dan kekuatan pendirian anda. Dengan mendadak segalanya telah runtuh, lalu tampaklah belang mereka masing-masing. Mereka pun berkatalah seperti yang pernah dikatakan para pendahulu mereka, "...keluarkan mereka dari kampung kalian, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang bersih." al-A'raf 82. Setelah itu sebahagian dari kalangan pendukung mereka sendiri ada yang mula menyuarakan keyakinan terhadap kebersihan anda, lalu mereka cari pula tuduhan-tuduhan lain, konon jika anda memimpin negara, itu bererti kemenangan bagi golongan pelampau. Di sini nada suara mereka telah berubah dan para syaitan pun mengumumkan  perubahan taktik serta pindaan strateginya dengan cuba memencilkan anda dari simpati dunia yang telah berjaya anda raih, sehingga mereka yang tidak pernah diduga bersimpati dengan orang-orang seperti anda, juga ikut membela anda. Kali ini syaitan dan kuncu-kuncunya  cuba menghalang anda dari mendapat simpati dan sokongan mereka dengan cara yang  membayangkan keadaan 'putus asa' iaitu dengan melemparkan tuduhan yang bukan lagi berupa kekejian-kekejian yang mereka sendiri lakukan, tetapi berupa kesucian yang menyelamatkan anda dari terjerumus bersama mereka ke dalam jurang kebejatan. Lalu mereka pun berkata persis sebagaimana yang dikatakan oleh kaum Lut mengenai Nabi Allah Lut dan keluarganya,  "...keluarkan mereka dari kampung kalian, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang bersih". Mereka (Lut dan keluarganya) menolak kekejian, enggan melakukan rasuah dan tidak sanggup bersekongkol dalam sistem yang serba bejat. Nyatalah bahawa sebenarnya 'kesucian' mereka itulah yang menjadi 'dosa' mereka dan itu pulalah yang 'mewajarkankan' penyingkiran, pengusiran dan pemenjaraan mereka.

Saudara yang dikasihi,

Saya telah mengikuti perbicaraan anda (atau apa yang mereka namakan 'perbicaraan'). Sepanjang waktu-waktu itu saya menjadi bertambah-tambah yakin terhadap kebenaran. Firman Allah, "..Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah."  an-Nisaa' 76. Memang benar, tipu daya mereka itu lemah sekali. Segala yang mereka rencanakan selama tiga tahun (lebih) itu kini mula runtuh dan menampakkan kerapuhannya. Dengan itu saya menjadi bertambah yakin terhadap anda, keluhuran moral dan wibawa anda. Saya juga bertambah yakin bahawa kesudahannya nanti, anda akan menang, sebagaimana saya yakin bahawa ujian yang sedang anda hadapi ketika ini adalah merupakan proses mempersiapkan anda untuk peranan besar yang akan anda mainkan insya-Allah, peranan menyelamatkan negara dan bangsa serta rantau ini seluruhnya dari cengkaman golongan perosak di bumi. Peranan anda pada masa mendatang adalah membina dan memperhebatkan gerakan islah serantau. Saya telah menelaah catatan-catatan jejak para nabi, khususnya  sejarah konflik mereka dengan golongan al-mufsidin (perosak) lalu satu temukan suatu perbandingan yang cukup sesuai untuk anda, iaitu Saidina Yusuf as yang diuji, dipenjara dan didera. Ternyata rupa-rupanya penjara dan segala tribulasi yang dilaluinya  adalah persiapan menghadapi tugas-tugas baharu yang segera menyusul. Walau apa pun yang sedang dilakukan oleh musuh-musuh anda, tuhan sendiri sedang mempersiapkan anda untuk peranan yang dengan izin Allah, akan anda jayakan iaitu reformasi korektif terhadap sistem negara anda dan rantau sekitarnya. Sesungguhnya memang andalah orangnya yang layak dan mampu untuk peranan tersebut.

Ketika buku anda  Kebangkitan Asia itu terbit, ramai dalam kalangan pendukung anda (termasuk saya) yang berasa khuatir dan cemas terhadap diri anda. Ini kerana selama ini dunia Islam belum pernah mempunyai pemimpin-tokoh islah dan pemikir berwawasan luas yang yang sekali gus mampu beraksi di pentas politik kontemporer. Tetapi buku anda itu telah menyerlah sebahagian daripada ciri-ciri keperibadian anda serta potensi dan kualiti kepimpinan anda. Justeru, saya menjadi bimbang, sesuatu akan terjadi kepada diri anda. Rasa bimbang itu terus bertambah, lebih-lebih lagi kerana pemikiran dan kandungan buku itu memperlihatkan kekuatan sahsiah penulisnya. Rata-rata orang percaya bahawa buku itu mengekspresikan pemikiran yang asli, bahawa penulisnya tidak mengupah seseorang menulis untuknya. Tetapi ia sendiri memang berkemampuan mengekpresikan pemikirannya, falsafahnya, wawasannya dan agendanya.

Sesungguhnya, Barat sangat mengagumi Senghor seorang tokoh Senegal yang pernah memimpin negara tersebut selama satu jangka masa yang panjang. Meskipun 93% rakyatnya beragama Islam, tetapi tokoh yang beragama Kristian itulah yang dipilih untuk memimpin Senegal. Para pengamat dan penganalisis berpendapat bahawa kearifan dan keintelektualannyalah faktor utama yang menjadikan kepimpinannya itu sebagai suatu kekuatan pemersatu Senegal dan tonggak kemerdekaannya. Dalam kaitan ini ramai yang melihat dan menilai anda- menerusi pemikiran sebuah negara berbilang budaya, agama dan bahasa di rantau yang juga serba majmuk - bahawa anda akan memainkan peranan seperti Senghor, malah jauh lebih besar lagi.

Ada pula setengah kalangan lain yang membandingkan anda dengan Nelson Mandela. Bagi saya memang beliau seorang tokoh yang dihormati ramai. Tidak ada salahnya jika orang membandingkannya dengan anda. Bagaimanapun perlu dicatat bahawa Nelson Mandela memperjuangkan satu nilai asasi iaitu persamaan di antara golongan berkulit putih dan golongan berkulit hitam di Afrika Selatan. Nilai (persamaan) yang diperjuangkan oleh Mandela itu memang menempati posisi yang tinggi dalam urutan nilai-nilai. Tetapi perjuangan anda jelas lebih besar dari itu. Anda memperjuangkan sejumlah nilai-nilai yang diliputi oleh istilah islah. Nilai-nilai yang anda perjuangkan dengan mempertaruhkan seluruh jiwa raga itu sebenarnya tidak lain adalah nilai-nilai yang diperjuangkan oleh para Nabi dan pejuang-pejuang islah umumnya. Justeru, anda tentunya tidak mahu menumpu hanya pada sesuatu nilai tertentu sahaja, tanpa yang lain-lain. Sebaliknya anda menyerahkan hidup anda demi perjuangan mendaulatkan nilai-nilai yang diwariskan oleh para anbiya' dan pejuang-pejuang islah, iaitu seperangkat (satu set) nilai yang terliput dalam firman Allah, " ....aku hanya bertujuan untuk melakukan islah (pembaikan ) sedaya upayaku..." - Hud:88. Yang anda mahu adalah islah, dengan nilai persamaan sebagai salah satu komponen nilai yang membentuknya. Dalam konteks inilah anda akan mengungguli mereka yang berjuang hanya untuk mendaulatkan sesuatu nilai tertentu sahaja.

Saudara yang tercinta,

Peranan anda dalam konteks negara anda sendiri ditentukan berdasarkan masalah-masalah besar yang dihadapinya, iaitu kebobrokan sistem politiknya. Keperluan mereformasikannya serta agenda bertindaknya telah anda jelaskan sendiri dalam ucapan-ucapan dan pidato-pidato anda. Selain itu sebenarnya anda punya peranan yang lebih luas dari daerah geografis negara anda. Peranan anda adalah meliputi seluruh wilayah serantau yang memang sangat memerlukan suatu gelombang besar reformasi-islahi sebagaimana yang anda sebutkan sendiri dalam pelbagai pertemuan, khususnya dalam persidangan-persidangan di mana anda telah berjaya menghimpunkan buat kali pertama ratusan pemikir serantau dari pelbagai agama dan budaya untuk mencari unsur-unsur positif yang dapat dikongsi demi kesejahteraan bersama kini dan nanti. Unsur-unsur positif yang dimiliki bersama dalam kalangan pelbagai agama dan budaya negara-negara Asia Tenggara itu dapat menyumbang ke arah penciptaan rantau makmur dan sejahtera demi kepentingan rantau ini sendiri, malah dunia seluruhnya. Di waktu yang sama anda juga punya peranan lain yang memang dapat dibaca oleh siapa sahaja yang mengikuti gerak langkah anda dan usaha-usaha gigih anda menyerlahkan unsur-unsur positif tamadun  serantau dan mengimbau perhatian umum kepada isu-isu tersebut terutama sepanjang tempoh anda memimpin UNESCO dan institusi -institusi antarabangsa lainnya yang memberikan perhatian istimewa kepada isu-isu seperti itu. Dengan demikian anda telah memperlihatkan keluasan wawasan anda yang meliputi pemikiran-pemikiran berskala global. Sekaligus anda juga telah menyerlahkan kefahaman anda yang cukup mendalam, yang lahir dari dari kefahaman anda terhadap ciri kesejagatan Islam, agama yang memang anda fahami dan hayati dengan penuh iltizam. Seperti yang kita sedia maklumi bahawa kesejagatan Islami ini tidak bertolak dari suatu kuasa yang terpusat dari diri sendiri lalu mengembang merentasi batasan-batasan bangsa, negara, budaya atau agama. Sebaliknya ia adalah kesejagatan yang bertitik tolak dari hakikat Tuhan Yang Esa dan bapa yang sama sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. dalam haji perpisahannya bahawa semua manusia seluruhnya berasal dari Adam, dan Adam pula dari tanah. Semua manusia bersaudara, sama setaraf bak gigi sikat, tidak ada lebihnya orang Arab dari 'Ajam (bukan Arab), juga yang putih dari yang hitam kecuali kerana takwa. Sementara takwa adalah prestasi usaha manusia yang dibina  di atas nilai-nilai unggul agama samawi. Bumi ini pula adalah rumah yang dikongsi bersama oleh semua manusia yang merupakan sebuah keluarga besar.

Kesejagatan yang bertitik-tolak dari nilai-nilai inilah- sebagaimana yang sama-sama kita fahami- satu satunya jalan keluar dari lingkaran dominasi pusat-pusat kuasa yang memecahbelahkan manusia, mengadu domba dan menyeret mereka ke kancah silang sengketa dan peperangan. Mereka jugalah yang membelah-belah dunia ini kepada Dunia Pertama, Dunia Kedua dan Dunia Ketiga; Negara-negara Utara dan Negara-negara Selatan dan demikianlah seterusnya.

Bilangan orang-orang yang punya pengalaman dan wawasan seperti anda memang amat sedikit. Walhal orang-orang seperti itulah yang sangat diperlukan untuk melindungi ini dari kerosakan, menyelamatkannya dari kesesatan dan membawanya keluar menuju alam nilai-nilai yang dapat menyatukan manusia menjadi keluarga besar yang sejahtera, hidup rukun di dunia yang  merupakan rumah bersama yang diciptakan oleh Allah SWT untuk mereka melaksanakan misi kekhalifahan di bumi-Nya dengan memelihara nilai-nilai yang diamanahkan-Nya - nilai-nilai tauhid, kesucian dan ketamadunan ataa kesedaran bahawa segala yang terjadi adalah hasil interaksi di antara Tuhan, manusia dan alam.

Sesungguhnya saya amat merindui anda, rindu untuk menemui anda dan keluarga di rumah anda. Saya juga amat merindui Malaysia. Tetapi saya telah bertekad untuk tidak mengunjunginya sebelum Tuhan membebaskannya dari bencana dengan pengembalian anda ke tampuk kepimpinannya. Ya Tuhan! Andainya rakyat Malaysia seluruhnya sedar apa kehilangan mereka dan apa kerugian mereka sejak 2 September 1998 hingga sekarang, pasti tidak seorang pun di antara mereka yang dapat menikmati makan minum, tidur lena atau merasa lapang sebelum kembalinya hak ke tempatnya dan kembalinya putera terbaik Malaysia ke tampuk kepimpinannya.

Saya berdoa agar Tuhan Yang Maha Berkuasa melindungi anda dari angkara manusia, memelihara anda sebagaimana Ia memelihara hamba-hamba-Nya yang salih, melepaskan kita semua dari bencana dengan kurnia keselamatan, pembebasan, kemenangan dan kepulangan anda ke pangkuan keluarga kecil anda - isteri dan anak-anak, keluarga besar anda warga Malaysia serta para aktivis islah penentang kebejatan seluruhnya.

Selamat tinggal, semoga Allah sentiasa bersama anda, wassalam.

Saudaramu,

(tandatangan)

Taha Jabir al-'Ilwaniy

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan