Saya bukan penunggang isu Yusoff Rawther - Akmal

 


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan, beliau tidak akan menjadi penunggang isu kes Yusoff Rawther yang pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap tindakan rejim Zionis Israel menjajah Palestin.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap pertanyaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengenai pendiriannya berhubung isu yang membabitkan Yusoff.

“Simpati tetap simpati… tetapi saya bukan penunggang macam kamu dan kawan-kawan kamu dan sejujurnya, orang yang menyokong negara Israel ini saya tidak berminat untuk komen dan sokong sebab beliau tidak layak mendapat perhatian saya. 

"Bila ada orang menyokong Israel secara terbuka, ni sebab lebih ramai lagi insan yang layak dapat perhatian dan pembelaan dari kami,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.


Dr. Akmal turut mempersoalkan tindakan Yusoff yang sebelum ini menyokong rejim Zionis secara terbuka, sambil menyifatkan apa yang berlaku ke atasnya hanya sekelumit daripada penderitaan sebenar rakyat Palestin.

“Mungkin yang dikatakan kezaliman kepada diri dia, Allah nak tunjukkan kepada Yusoff bahawa apa yang dialami oleh dia hanyalah satu peratus sahaja kezaliman yang dirasai oleh saudara kita di bumi Palestin yang setiap hari selama puluhan tahun dizalimi oleh pihak Zionis laknatullah yang Yusoff sokong.

“Moga peristiwa ini boleh membuatkan Yusoff  insaf dan ubah persepsi menyokong negara Israel,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menempelak pihak yang cuba mengaitkan Pemuda UMNO dengan kes seorang individu yang digelar ‘Abang Belon’ yang kini dibela oleh peguam dikaitkan dengan Bersatu.

“Mengenai isu Abang Belon, jangan tanya kami, sebab Abang Belon dah pilih kamu dan kawan-kawan sebagai peguam dia dan kamu dah bawa dia keliling kampung siap ada sidang media.

“Seharusnya tanya diri sendiri dan tanya kawan-kawan kamu apa cerita tentang Abang Belon ya. Dah dia pilih kamu, jangan kamu tinggalkan dia pula separuh jalan sebab dah tak boleh nak tunggang dia,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memetik kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Bak kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal, sebelum tanya mana suara Ketua Pemuda UMNO, patut tanya mana suara Ketua Pemuda kamu dulu!

“Dan saya nak tanya, sanggup ke sokong orang yang secara terang-terangan menyokong Zionis yang membunuh saudara kita di Palestin tu?”

Beliau turut menyertakan pautan laporan oleh Israel National News yang mengandungi kenyataan Yusoff menyokong Israel:

[https://www.israelnationalnews.com/news/350037]

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan