Tiada keperluan panggil PM beri keterangan kes Yusoff Rawther - PDRM

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan, tiada keperluan untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi dirakam keterangan dalam siasatan laporan terbaharu Muhammad Yusoff Rawther kerana tindakan itu telah pun diambil sewaktu aduan asal dibuat sebelum ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, laporan polis bertarikh 12 September 2024 itu telah disiasat bersama dua lagi kertas siasatan yang dibuka berhubung penemuan dadah serta pistol.

“Pada peringkat awal siasatan, PDRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan bagi kedua-dua kes tersebut.

“PDRM berpuas hati bahawa keterangan sedia ada ketika itu mencukupi untuk menuduh Yusoff Rawther tanpa perlu memanggil mana-mana pihak lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes sivil membabitkan Yusoff Rawther, Razarudin berkata, pihaknya menghormati serta mengalu-alukan sebarang reaksi atau pandangan berhubung keputusan tersebut.

Katanya, pandangan yang dikemukakan mencerminkan aspirasi rakyat untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara terus menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

“PDRM masih menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan untuk melihat jika terdapat sebarang kelemahan atau kelompangan dalam siasatan yang dijalankan.

“Sekiranya perlu, PDRM bersedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semula terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) penyiasatan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap laporan polis yang dibuat akan disiasat secara adil dan tanpa prejudis, termasuk yang melibatkan suspek berprofil tinggi.

“Keputusan untuk mendakwa atau sebaliknya dibuat oleh Jabatan Peguam Negara selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, sebagaimana kes-kes sebelum ini, PDRM sentiasa cakna terhadap keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pihak polis dan akan terus mengambil tindakan proaktif untuk meningkatkan mutu siasatan dan keberkesanan pendakwaan.







Catat Ulasan

0 Ulasan