RM48.873 bilion bukan nilai ketirisan - Ketua Audit Negara

 


Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan, Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Persekutuan tidak melaporkan ketirisan atau kerugian seperti yang didakwa sesetengah portal media.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi menegaskan, laporan itu mengandungi perkara yang dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian, dengan jumlah keseluruhan kos yang diaudit sebanyak RM48.873 bilion.

“Kenyataan sedemikian berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Laporan berkenaan telah dibentangkan di Dewan Rakyat semalam selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dijadualkan untuk dibahaskan pada 23 Julai ini.

Beliau berkata, sepanjang proses pengauditan, pihaknya menerima sokongan jitu daripada seluruh jentera kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

“Kerjasama dan komitmen ini amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti, dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, skop pengauditan secara umum mengambil kira prestasi program dan aktiviti yang dilaksanakan merangkumi isu-isu legasi serta sebarang usaha atau inisiatif yang diperkenalkan kerajaan.

“Setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan ini disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian, jabatan serta agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sistem dalaman dan pematuhan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 44 isu yang dilaporkan dalam LKAN 2/2025 telah dimuat naik di Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara pada 21 Julai untuk disusuli kementerian dan jabatan berkaitan.

Katanya, isu-isu berkenaan turut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Bagi tempoh tahun 2024 hingga Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara telah berjaya membantu kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, serta kutipan duti dan cukai,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan secara rasmi melalui laman sesawang Jabatan Audit Negara di www.audit.gov.my bagi mendapatkan gambaran tepat dan menyeluruh terhadap dapatan audit yang dibentangkan.

BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan