UMNO Bahagian Pekan menuntut agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi keadilan yang sepatutnya melalui pelaksanaan titah adendum yang telah disahkan kewujudannya.
Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Arif berkata, Mesyuarat UMNO Bahagian Pekan 2025 pada 28 Jun lalu telah meluluskan usul berhubung perkara tersebut.
“Usul ini antara lain mendesak agar prosiding semakan kehakiman mengenai titah adendum di peringkat Mahkamah Tinggi dapat diteruskan sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, UMNO Pekan menyambut baik penjelasan rasmi oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar kepada Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, sebagaimana afidavit yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Nizar Najib.
“Malah perlu ditegaskan bahawa kewujudan titah adendum yang bertarikh 29 Januari 2024 tersebut telah disahkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara melalui surat bertarikh 4 Januari 2025.
“Maka pelaksanaan titah adendum yang telah tertangguh selama lebih 16 bulan ini adalah umpama keadilan yang telah dinafikan kepada Najib serta melambatkan haknya di bawah perlembagaan untuk mendapatkan keadilan,” katanya.
Tambah Mohammad Fakhruddin, UMNO Pekan berharap agar Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan memandang serius perkara itu demi menjamin prinsip kedaulatan perlembagaan dan undang-undang sentiasa terpelihara.
“Keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara akan semakin terhakis sekiranya rakyat merasa ragu dengan proses perundangan yang dijalankan.
"Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi mesti dilihat telah dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negara yang berkumpul pada 17 Julai lalu bagi menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap Najib, selain mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan titah tersebut.
“Najib merupakan seorang tokoh negarawan yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan negara, termasuklah melalui pelbagai dasar transformasi ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang masih memberi manfaat kepada rakyat sehingga kini.
“Sumbangan beliau tidak wajar dipinggirkan, dan sebagai warga Malaysia, beliau juga berhak menerima layanan yang adil dan saksama di sisi undang-undang,” katanya.
Jelas Mohammad Fakhruddin, UMNO Bahagian Pekan akan terus komited memperjuangkan keadilan buat Najib.
“Semoga beliau akan menerima hadiah yang berupa kemenangan dan kebebasan sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-72 pada 23 Julai 2025 nanti. Selamat hari lahir Datuk Seri!
“Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan, ketabahan dan keadilan buat Najib serta terus memberkati bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
0 Ulasan