Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan atas alasan integriti.
Menurut beliau, Muhyiddin sendiri tidak layak bercakap mengenai integriti kerana masih terpalit dengan isu rasuah membabitkan dana Jana Wibawa.
“Muhyiddin turut mendesak agar PMX letak jawatan kerana faktor integriti. Apakah Muhyiddin layak bercakap soal integriti?
“Dia sendiri terpalit dengan dakwaan rasuah Jana Wibawa. Bahkan dia sepatutnya pujuk menantunya balik Malaysia untuk berdepan siasatan SPRM dan proses mahkamah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd. Puad turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang seolah-olah membiarkan menantunya berada di luar negara, seolah-olah menunggu untuk kembali berkuasa semula.
“Jangan tunggu dapat balik jawatan Perdana Menteri barulah menantu balik Malaysia. Tidak ada anak-anak bekas Perdana Menteri lari ke luar negara. Mana integriti Muhyiddin?” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kembali pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di mahkamah berhubung campur tangan politik dalam siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Kita masih ingat Tan Sri Fuzi bekas KPN mendedahkan di mahkamah. Pada tahun 2018, selepas PH ambil alih kuasa, tiga tokoh politik tertinggi negara termasuk Muhyiddin (Menteri KDN) bertanya berulang kali kenapa Najib lambat untuk didakwa?
“Tidakkah itu campur tangan?” ujarnya.
Tambah Mohd. Puad, sikap Muhyiddin yang terus mengungkit soal pelantikan Perdana Menteri ketika berucap semasa kempen PRK Nenggiri membuktikan beliau masih tidak berpuas hati kerana tidak dilantik kembali sebagai Perdana Menteri.
“Dia masih obses mahu jadi PM tebuk atap. Di Nenggiri dia ungkit cerita lama. Kenapa Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak jemput dia ke Istana angkat sumpah?
“Walhal dia tidak cukup angka. 10 MP BN yang dia cuba curi buat pusingan U. Tanpa Sheraton Move, Muhyiddin tidak akan jadi PM ke-8,” katanya.
Sehubungan itu, Puad menegaskan bahawa Muhyiddin sepatutnya meletak jawatan selepas kekalahan teruk dalam PRK DUN Nenggiri dan PRK DUN Mahkota.
“Sepatutnya dia letak jawatan kerana kalah teruk di Nenggiri dan Mahkota,” tegasnya.
0 Ulasan