Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan perarakan "Walk of Justice" anjuran Majlis Peguam semalam sebagai satu lagi episod drama yang tidak memberi nilai tambah kepada reformasi kehakiman.
Menurut beliau, tindakan Majlis Peguam itu tidak menghairankan kerana badan tersebut dilihat terlalu partisan dan bersifat berat sebelah dalam memperjuangkan isu perundangan.
“Majlis Peguam mengistiharkan ‘Walk of Justice’ anjuran mereka semalam berjaya. Saya meraguinya. Ini bukan kali pertama mereka berarak dalam memperjuangkan isu perundangan.
“Lagi pun Majlis Peguam adalah NGO partisan. Mereka amat selektif dalam memperjuangkan isu perundangan dan kehakiman. Berarak dan menjerit sambil berjalan tidak sesuai dengan imej pengamal undang-undang,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut Mohd. Puad, adalah lebih berfaedah sekiranya Majlis Peguam memilih pendekatan lebih matang dan berkesan dalam menyalurkan tuntutan mereka.
“Adalah lebih bermanfaat jika Majlis Peguam mengadakan dialog dengan kerajaan. Atau berjumpa dengan ahli Parlimen supaya mereka bahas isu ini di Parlimen,” katanya.
Tambah beliau, Majlis Peguam tidak pernah berubah sejak dahulu, kekal menggunakan pendekatan sama meskipun menuntut reformasi institusi.
“Cara Majlis Peguam tidak berubah dari dulu hingga sekarang. Mereka menuntut perubahan institusi tetapi cara mereka tidak pernah berubah.
"Paling ketara sikap selektif, partisan dan berat sebelah Majlis Peguam,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Puad berkata Majlis Peguam seharusnya bersama Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang lebih menyeluruh, bukan hanya memfokuskan kepada kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Sepatutnya Majlis Peguam dan Rafizi menuntut RCI lebih komprehensif. Jangan fokus isu lambat lantik Ketua Hakim Negara sahaja.
"Siasat juga dakwaan Tan Sri Abdul Rahman Sebli amalan perbicaraan tidak adil seperti yang berlaku kepada Najib Razak,” katanya.
Mohd. Puad juga mempersoalkan sikap membisu Majlis Peguam terhadap pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Katanya Tommy Thomas menyertai perarakan itu.
"Tetapi pernahkah Majlis Peguam berarak apabila Tommy Thomas mendedahkan dalam buku memoirnya bahawa perlantikan Tun Maimun itu sendiri penuh kontroversi?” soal beliau.
Dalam pada itu, Mohd. Puad turut menyelar tindakan Nurul Izzah Anwar yang turut serta dalam perarakan tersebut dan menganggap ia sekadar drama politik murahan.
“Sekali lagi Nurul Izzah berdrama. Dia membodohkan rakyat. Lagi baik dia beritahu di perarakan itu bahawa dia membantah tindakan ayahnya. Tapi ayahnya berdegil. Oleh itu dia akan letak jawatan Timbalan Presiden PKR,” katanya sinis.
0 Ulasan