UEC tak selaras aspirasi nasional, tak perlu iktiraf - Mohamad

 


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dilakukan selagi sistem tersebut tidak digubal selaras dengan aspirasi nasional dan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan mesti dibina berlandaskan misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional, selain dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, sistem pendidikan mestilah dibina selaras aspirasi nasional. Ia mesti disandarkan pada misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional. Dan ia mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan tidak pernah menghalang pelaksanaan UEC oleh Dong Zong sejak tahun 1975, namun isu sebenar ialah pengiktirafan kelayakan tersebut.

“Kerajaan tidak ada masalah mengiktiraf jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional. Selagi ia tidak menepati ciri tersebut, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional,” katanya.

Mohamad berkata, pendidikan merupakan satu-satunya jalan untuk membentuk identiti nasional, terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum.

“Sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional. Kerana itu kita percaya, satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar pendidikan tidak dijadikan bahan politik sempit.

“Pendidikan janganlah kita politikkan. Ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak kita, dari pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah,” katanya.

Mohamad berkata, rakyat Malaysia bebas memilih untuk belajar dalam sistem UEC, namun kerajaan tidak boleh dipaksa untuk mengiktiraf kelayakan tersebut.

“Tetapi jika ada rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional itu, maka mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa akan menghalang. Tetapi janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa bagi tujuan kemasukan ke universiti, UEC tidak menghadapi masalah kerana ia diterima di banyak universiti dalam dan luar negara. 

“Selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya,” katanya..

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan