Parti Amanah Negara (AMANAH) berpandangan penurunan sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di kerusi-kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini merupakan masalah dan tanggungjawab bersama semua parti anggota gabungan tersebut.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu mencadangkan supaya satu jawatankuasa bertindak dibentuk oleh PH untuk menganalisis punca kemerosotan undi tersebut dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil bagi menanganinya.
“AMANAH berpandangan penurunan sokongan pengundi Cina dalam PRN Sabah di kerusi-kerusi yang ditandingi PH baru-baru ini adalah masalah dan tanggungjawab bersama semua parti anggota PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memperakui kejayaan Kerajaan Madani melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, namun pelaksanaan tersebut dilihat masih gagal mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan atas sebab-sebab tertentu.
“Akan tetapi, pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dilihat masih gagal mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.
Menurut Khalid, Kerajaan Madani perlu meningkatkan usaha penerangan kepada rakyat bukan sahaja melalui agensi kerajaan, tetapi juga NGO dan jentera penerangan parti-parti dalam Gabungan Perpaduan.
“Semua entiti komunikasi Pakatan Harapan perlu diperkasakan dan diselaraskan di bawah satu badan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan,” ujarnya.
AMANAH turut menyarankan agar kerajaan memperbanyakkan libat urus dengan parti politik dan wakil masyarakat dalam proses menggubal inisiatif serta polisi kerajaan sebelum dilaksanakan.
“Proses libat urus ini dapat membantu kerajaan untuk memahami kehendak rakyat dalam sesuatu persoalan dan mengelak kesan yang tidak diingini terhasil dengan dilaksanakan sesuatu inisiatif. Pada masa yang sama, libat urus ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk memahami hasrat dan matlamat kerajaan dalam menggubal inisiatif berkenaan,” katanya.

0 Ulasan