Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana bercanggah dengan kepentingan nasional, dasar pendidikan negara dan usaha perpaduan nasional.
Setiausaha Agung GPMS, Wafiuddin Musa berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap desakan berterusan agar kerajaan mengiktiraf UEC, khususnya oleh pihak politik tertentu.
“Setelah meneliti secara menyeluruh bagaimana sistem ini tersusun dan juga implikasinya kepada negara, GPMS berpendirian tegas bahawa UEC tidak wajar diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan UEC yang diperkenalkan oleh Dong Jiao Zong pada tahun 1975 menggunakan silibus tersendiri dan beroperasi di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan.
“Pengiktirafan UEC bukan sahaja akan menghakis dasar pendidikan negara sedia ada tetapi turut mengancam usaha pemantapan sistem pendidikan negara yang menjadi tunjang utama pembinaan negara bangsa,” katanya.
Wafiuddin menambah kedudukan Bahasa Melayu mesti terus dijadikan bahasa pengantar utama sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Mengiktiraf UEC akan membuka ruang kepada kedudukan bahasa rasmi negara ini untuk dipertikai, sekali gus mencetuskan ketidakharmonian dan menggugat perpaduan nasional,” katanya.
Beliau turut menegaskan UEC tidak memenuhi keperluan asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam kerana tidak berlandaskan kurikulum negara, penguasaan Bahasa Melayu serta subjek wajib seperti Sejarah dan Bahasa Melayu pada tahap setara SPM.
“GPMS turut melihat bahawa desakan mengiktiraf UEC lebih bersifat tekanan politik daripada keperluan sebenar negara. Dasar pendidikan tidak boleh ditentukan oleh tuntutan berkepentingan politik yang tidak mengambil kira kepentingan nasional dan masa depan generasi muda,” katanya.

0 Ulasan