Iktiraf UEC pengkhianatan terhadap negara - PEKIDA

 



Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) menegaskan pendirian tegas menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menyifatkan langkah itu sebagai pengkhianatan terhadap negara.

Timbalan Presiden PEKIDA, Datuk Abdul Rashid Zainullah berkata, pihaknya memandang serius desakan terbuka daripada beberapa pihak termasuk menteri dan pemimpin DAP yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf UEC.

“PEKIDA memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya desakan pihak-pihak tertentu yang mendesak Perdana Menteri Malaysia untuk mengiktiraf sijil UEC termasuk di kalangan Menteri dan pemimpin DAP. Tindakan ini dilihat sebagai tekanan politik yang melampaui batas dan satu cubaan untuk menggugat asas sistem pendidikan kebangsaan yang telah dibina sejak Merdeka berlandaskan semangat nation-building serta kepentingan perpaduan nasional,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, UEC bukan sebahagian daripada Dasar Pendidikan Kebangsaan, malah bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta tidak mematuhi kerangka kurikulum kebangsaan yang menjadi teras pembinaan identiti rakyat Malaysia.

“Mengiktiraf UEC bererti membuka pintu kepada sistem pendidikan yang berpecah-belah, di mana setiap kaum membawa agenda pendidikan sendiri tanpa penyelarasan, dan akhirnya menjejaskan penyatuan negara dalam jangka panjang,” tegasnya.

Menurut beliau, desakan terbuka oleh menteri DAP terhadap Perdana Menteri dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati sensitiviti nasional, sekali gus cuba memaksa kerajaan tunduk kepada kepentingan kelompok tertentu.

PEKIDA turut mengingatkan bahawa isu pendidikan bukan ruang untuk bermain politik sempit atau memenuhi tuntutan pihak yang tidak mengutamakan kepentingan negara.

Abdul Rashid berkata, PEKIDA menuntut agar kerajaan:

  1. Menolak sama sekali pengiktirafan UEC dalam apa jua bentuk.
  2. Memperkasa semula sistem pendidikan kebangsaan, termasuk memperkukuh sekolah kebangsaan sebagai institusi penyatu negara.
  3. Menghentikan tekanan politik daripada mana-mana menteri atau parti yang cuba menjejaskan dasar pendidikan nasional.
  4. Mengutamakan integrasi dan perpaduan nasional melalui satu sistem pendidikan yang bersatu, inklusif dan menghormati dasar negara.

Beliau menambah, PEKIDA akan terus bersuara mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara.

“Sebarang usaha untuk mengangkat sistem pendidikan yang memecah-belahkan rakyat tidak akan sekali-kali kami kompromi. PEKIDA Malaysia berdiri teguh menolak pengiktirafan UEC! Perpaduan nasional tidak boleh digadaikan demi tuntutan politik sempit!” katanya.


BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan