Bersih gesa kerajaan jangan sambung kontrak Azam Baki

 

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Madani, terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menyambung kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kali keempat. 

Katanya, pendirian itu adalah sebagai respon kepada kenyataan Azam yang memberi bayangan bahawa beliau tidak akan disambung lagi kerana banyak pihak tidak menyukainya dan telah tiga kali disambung kontrak.

Menurut Bersih, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bukanlah jawatan untuk disukai oleh orang ramai kerana jawatan tersebut adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan mencegah rasuah. 

"Apa yang menjadi permasalahan dan isu kepada negara adalah proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya tersebut yang membelakangi janji untuk mereformasi pelantikan jawatan-jawatan utama agar melalui Jawatankuasa Parlimen seperti yang termaktub dalam manifesto BN dan PH," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, BERSIH juga ingin mengingatkan bahawa Azam pernah enggan hadir ke prosiding PSC sewaktu beliau dikaitkan dengan pemilikan saham yang bernilai lebih RM100,000

BERSIH sekali lagi mendesak dengan keras agar pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas ini melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi

"BERSIH juga berharap agar Pengerusi JPKP, William Leong untuk terus mendesak supaya JPKP dapat meneliti calon-calon yang bakal menjadi KP SPRM dan melaporkan sekiranya ada isu atau persoalan yang perlu dijawab oleh calon-calon ini. 

"Kerajaan Madani dan Anwar perlu melaksanakan kata-kata dan janji-janji yang mereka tanam selama ini. Apa yang rakyat inginkan adalah kejujuran, keberanian dan ketelusan dalam mentadbir negara," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan