Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas kenyataan Isham Jalil yang mendakwa PAS sebagai parti terbersih daripada rasuah.
Beliau menyifatkan dakwaan bekas Ahli MKT UMNO yang dipecat itu sebagai hujah cetek dan berasaskan keyakinan palsu semata-mata.
Mohd. Puad menegaskan, dakwaan itu tidak lebih daripada “politik dan mengampu” yang direka untuk kepentingan tertentu.
“Baru sekarang Isham mengakui PAS parti terbersih. Dia juga mempercayai imej Islam dan nama Islam pada parti tersebut adalah tulin.
"Sekarang dia bersetuju fatwa PAS, ‘duit membeli undi’ adalah sedekah bukan rasuah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut beliau, kemampuan mentadbir negara bukan sekadar diukur pada isu kemungkaran rasuah sahaja, kerana memperdagangkan agama dan kelemahan pentadbiran juga adalah kemungkaran yang tidak boleh dipandang ringan.
“Tetapi sebenarnya apa kayu ukur Isham apabila mendakwa PAS parti terbersih.
"Apakah amalan kroni dan salah guna kuasa tidak berlaku di negeri pentadbiran PAS?” soal beliau.
Dr Puad turut mengumpamakan pendirian Isham seperti pemimpin MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang membuat pusingan ‘U’ demi muslihat politik.
“Semoga PAS mencalonkan Isham di PRU ke-16,” sindirnya.
0 Ulasan