Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, pihaknya bersedia mengajar sekiranya DAP tidak mengetahui cara memasang bendera Malaysia dengan betul.
“Nak anggap kami biadab? Silakan. Kami lebih rela dianggap biadab daripada dianggap pengkhianat,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tidak perlulah mana-mana pihak cuba "menangguk di air keruh" apatah lagi mengugut untuk membuat protes di depan premis perniagaan yang terbabit atau "mengajar" orang untuk mengibar bendera.
Katanya, tindakan seperti itu adalah satu cara membuli yang sudah tentu ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia.
Dr. Akmal turut menyifatkan perbuatan tidak menghormati bendera Malaysia sebagai tindakan yang sangat biadab.
“Ini bukan isu yang diperbesarkan, ini adalah memang isu yang besar soal penghormatan terhadap negara ini dan tidak ada kompromi langsung,” katanya.
Dalam hantaran Facebook berasingan, Dr. Akmal turut membidas sikap segelintir pihak yang menyokong perbuatan memasang bendera secara terbalik.
“Tegur dan ajar orang cara pasang bendera yang betul = pembuli, bahaya, politik gengster. Back up orang yang pasang bendera terbalik = hero, terpaling politik matang.
"Logik golongan bengap-bengap sekalian. Pergi jalan lah sama kau,” katanya.
0 Ulasan