Pemuda UMNO menafikan mesej permohonan maaf penangguhan Himpunan Maruah Tanah Airku bagi membantah perbuatan individu yang memasang bendera secara terbalik di Pulau Pinang.
Setiausahanya, Hafiz Ariffin berkata, apa yang tersiar dalam media itu bukan kenyataan rasmi.
"Pemuda UMNO tetap tegas dan berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat terhadap isu ini tanpa sebarang rasa apologetik," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman oleh pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin bahawa individu yang memasang bendera secara terbalik telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
"Sehubungan dengan itu, bagi menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil, Himpunan Maruah Tanah Airku ditangguhkan," jelasnya.
Himpunan tersebut pada mulanya dijadualkan pada pukul 12 tengah hari ini di pekarangan premis perniagaan di mana insiden bendera terbalik dikibarkan di Kepala Batas, Pulau Pinang.
0 Ulasan