Usah terburu-buru buat andaian isu bendera terbalik - Menteri Perpaduan

 


Semua pihak termasuk ahli politik diminta tidak terburu-buru membuat andaian berhubung insiden penggantungan bendera Malaysia secara terbalik tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, mereka seharusnya meredakan keadaan dengan mengelakkan sebarang kenyataan atau perbuatan yang bersifat provokatif dan boleh memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata, insiden yang menimbulkan pelbagai reaksi itu sememangnya tidak wajar dan boleh dianggap sebagai kesalahan yang memberi gambaran negatif terhadap semangat patriotisme negara.

“Saya tentunya kesal berkenaan insiden penggantungan bendera Malaysia secara terbalik yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Aaron menegaskan, tindakan menggantung bendera secara terbalik adalah salah dari segi tatacara pengibaran bendera negara seperti termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963. 

Namun katanya, punca sebenar kejadian perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia mungkin disengajakan atau berlaku akibat kekhilafan serta ketidaktahuan orang awam.

Beliau berkata, pihak berkuasa wajar diberi ruang menyiasat dan menentukan sebarang tindakan atau penalti sewajarnya. Katanya, insiden itu menjadi pengajaran penting agar rakyat lebih memahami serta menghayati simbol negara dengan betul.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa rakyat tidak perlu berasa takut atau ragu-ragu untuk memasang bendera hanya kerana insiden ini. 

"Sebaliknya, kita harus mengambil peluang ini untuk belajar dan memahami tatacara yang betul dalam mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya sambil menggalakkan rakyat menyokong kempen Kementerian Komunikasi ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Aaron berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menggerakkan kempen kesedaran di Kawasan Rukun Tetangga serta melalui Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara supaya rakyat benar-benar memahami cara tepat mengibarkan bendera negara sebagai lambang patriotisme dan kesatuan.




Catat Ulasan

0 Ulasan