Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan, mereka yang menyangka dapat menakutkan dan mendiamkan suara pejuang bangsa yang lantang mempertahankan Jalur Gemilang dengan pendakwaan di mahkamah adalah tersilap.
Beliau memberitahu, lagi kuat mereka ditekan lagi kuat mereka melawan.
"Ini soal maruah negara yang perlu dipertahankan.
"Terima kasih pada semua yang sudi hadir dari jauh dan dekat.
"Ini bukan solidariti untuk Dr. Akmal Saleh, tetapi solidariti untuk Jalur Gemilang kita," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Dr. Akmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas tuduhan memuat naik kenyataan di laman Facebook miliknya yang didakwa menimbulkan kegentaran dan mengancam keselamatan awam.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu membuat pengakuan tersebut serta memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Berdasarkan pertuduhan, Akmal, 37, didakwa memuat naik kenyataan di akaun Facebook “Akmal Saleh” pada jam 3 petang, 11 Ogos lalu, yang kemudian dilihat serta didengar seorang lelaki di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Precint 1 @ Sunway Wellesley, di sini.
Menerusi video tersebut, beliau didakwa menuntut Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan dalam tempoh dua hari terhadap individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik, dan jika tiada pendakwaan dibuat, beliau akan turun sendiri untuk “mengajar” individu dirujuknya sebagai “apek” cara memasang bendera dengan betul.
Kenyataan itu didakwa berupaya menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Atas kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili 11 peguam yang diketuai Aizat Azam.
Dalam prosiding, pihak pembelaan memohon jaminan ditetapkan pada RM2,000.
Aizat berhujah kes berkenaan tidak boleh dikategorikan sebagai “kesalahan serius” memandangkan hukuman penjara maksimum yang diperuntukkan kurang 10 tahun.
“Akmal juga mempunyai tanggungjawab menyara isteri dan dua anak kecil yang masih bersekolah selain perlu menunaikan peranan rasmi sebagai wakil rakyat, EXCO Kerajaan Negeri Melaka serta Ketua Pemuda UMNO,” katanya.
Namun, pihak pendakwaan menyifatkan cadangan jaminan itu tidak munasabah dan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000.
Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Akmal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa Akmal bersama tiga lagi individu berhubung kenyataan di media sosial yang didakwa menggugat ketenteraman awam.
0 Ulasan