Kepimpinan mantap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dirindui oleh sebahagian besar golongan muda di negara ini.
Dalam dapatan kajian yang dijalankan oleh firma penyelidikan IMAN Research baru-baru ini, sekumpulan belia memuji visi 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib termasuk pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
TN50 memberi tumpuan kepada golongan muda sebagai pemegang taruh utama dalam merangka hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun.
Malangnya, TN50 dimansuhkan selepas perubahan kerajaan pada 2018 dan sehingga kini tiada petunjuk bahawa pelan hala tuju tersebut diambil kira dalam perancangan kerajaan.
Menurut mereka, penjenamaan Madani yang diperkenalkan kerajaan hari ini masih gagal menarik perhatian belia dan masyarakat umum.
"Terdapat kekurangan dasar yang kukuh, pembangunan yang jelas serta pelan hala tuju yang menerangkan apa sebenarnya yang ingin digambarkan melalui konsep Madani," jelas kajian tersebut.
Mereka berpandangan, cita-cita negara, visi yang jelas serta pelaksanaan konkrit amat penting bagi memberikan gambaran hala tuju Malaysia serta kedudukannya di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
Dalam hal ini, semua peserta menyatakan mereka menjangkakan kerajaan memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi negara di samping menjaga kepentingan rakyat.
Ini termasuk menangani peningkatan kos sara hidup dan merancakkan pasaran pekerjaan menerusi dasar ekonomi strategik serta pelaburan berkesan.
Laporan penuh kajian bertajuk "Malay Youth Democratic Renewal Post-GE 15: The Politics of Acknowledgement and Resentment" itu diterbitkan pada 19 Ogos lalu dan boleh dibaca melalui pautan https://www.imanresearch.com/2025/08/19/orang-kita-english-version/.
0 Ulasan