Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak kesal dengan kenyataan Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menghentam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.
Ketuanya, Zamri Zainal berkata, sebagai seorang Ahli MKT, sepatutnya Lokman menyelesaikan isu dalaman parti dengan cara tertib dan berhemah, bukannya membuat kenyataan terbuka yang hanya mengundang perpecahan.
Menurut beliau, jika benar ada perbezaan pandangan, saluran parti sedia ada adalah tempat terbaik untuk berbincang.
"Bukannya membuat riuh seperti ayam berkokok pagi-pagi, namun akhirnya tiada siapa pun yang menyambut laungan itu.
"Tindakan sebegini bukan sahaja tidak membantu, malah mencalarkan imej UMNO di mata rakyat," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Zamri menambah, lebih mendukacitakan, tindakan Lokman itu bukan kali pertama berlaku.
Katanya, Beliau berulang kali bertindak menyerang pimpinan parti secara terbuka tanpa memikirkan kesannya kepada perpaduan dalaman.
"Justeru, Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak memohon agar pucuk pimpinan parti mempertimbangkan untuk menggantung atau memecat beliau daripada UMNO.
"Tindakan tegas perlu diambil agar perkara sebegini tidak lagi berulang," katanya.
Beliau memberitahu, pada masa yang sama, Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab DAPSY yang mengeluarkan kenyataan mahu memutuskan hubungan dengan Pemuda UMNO.
"Kami menyambut baik sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, kerana Pemuda UMNO tidak pernah gentar berdepan dengan pihak yang jelas tidak menghormati Jalur Gemilang dan sering memperlekehkan maruah negara," jelasnya.
Tegasnya, Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak tetap berdiri teguh di belakang Akmal.
"Serangan daripada luar mahupun dalam tidak akan mematahkan semangat kami.
"Fokus kami adalah memperkukuhkan parti, mempertahankan maruah institusi kepimpinan, dan memastikan suara anak muda terus lantang memperjuangkan agama, bangsa, dan tanah air," tegasnya.
0 Ulasan