Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan memandang serius kenyataan Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam temu bual yang melabelkan Datuk Dr. Akmal Saleh sebagai “Ketua Pemuda H20”.
Ketuanya, Datuk Aliff Firdaus Abd. Hadi berkata, tuduhan itu menggambarkan seolah-olah beliau menyimpan rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap dua tokoh parti, iaitu Ketua Pemuda UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut beliau, lebih membimbangkan, sebagai Pengarah Komunikasi UMNO, kenyataan beliau boleh disalah tafsir sebagai pendirian rasmi parti dan sekali gus menjejaskan imej UMNO di mata rakyat.
"Kami menegaskan bahawa Lokman merupakan ahli UMNO yang berdaftar di Wilayah Persekutuan.
"Justeru, tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan menyerang kepimpinan parti secara terbuka telah memberi gambaran yang buruk terhadap UMNO Wilayah Persekutuan.
"Sehubungan itu, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mengusulkan agar beliau segera dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO serta dilucutkan jawatan sebagai Pengarah Komunikasi UMNO," katanya dalam kenyataan media semalam.
Aliff Firdaus berkata, jelas sekali, Lokman lebih sibuk mencari ruang untuk menjadikan dirinya relevan di mata kepimpinan parti dan kerajaan.
Namun, kata beliau, sikap sebegini tidak diperlukan dalam UMNO.
"Parti ini memerlukan seorang Pengarah Komunikasi yang matang, bijaksana, dan mampu membawa naratif positif yang dapat mengangkat imej UMNO, bukannya individu yang menjerumuskan parti dalam polemik dalaman yang memalukan," jelasnya.
Aliff Firdaus berkata, pada masa yang sama, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan turut mengambil maklum kenyataan beberapa pimpinan DAPSY yang menggesa agar parti mereka memutuskan hubungan dengan Akmal.
"Kami menyambut baik perkara tersebut kerana Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sememangnya tidak pernah berhasrat untuk bekerjasama dengan golongan muda seperti DAPSY yang saban hari dilihat membela pihak yang melakukan kesalahan.
"Hal ini terbukti dalam beberapa insiden terdahulu, termasuk isu bendera terbalik di Pulau Pinang dan Pontian, serta cubaan mereka mempertahankan peneroka haram Musang King di Raub, Pahang," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berpendirian tegas bahawa kerjasama politik antara Pemuda UMNO dan DAPSY tidak membawa sebarang keuntungan kepada UMNO mahupun Barisan Nasional.
"Sejak dahulu lagi, UMNO dan BN sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta membela kebenaran, bukannya menjadi pelindung kepada mereka yang melakukan kesalahan hanya kerana kepentingan politik," katanya.
0 Ulasan