Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan keikhlasan PAS dalam bersolidariti memperjuangkan pelaksanaan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau membangkitkan persoalan itu kerana tidak nampak kelibat pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS di Istana Kehakiman Putrajaya semalam.
"Ikhlaskah PAS dalam isu adendum? PAS macam semut. Ada gula adalah semut. Ada demonstrasi adalah PAS," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd. Puad menambah, semasa prosiding kes titah adendum pada 6 Januari lalu di Mahkamah Rayuan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan jadi peguam pemerhati.
Menurut beliat, turut kelihatan pada hari tersebut ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta pemimpin-pemimpin PN seperti Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Mereka berlagak hero. Tetapi semalam, di prosiding Mahkamah Persekutuan bayang pun tidak nampak. Hangat hangat tahi ayam.
"Mungkin sebab tidak ada himpunan Solidariti Najib," katanya.
Mohd. Puad berkata, pada mulanya dijangka seramai 15,000 ahli UMNO akan hadir di Istana Kehakiman Putrajaya pada 6 Januari lalu.
"PAS kerah ahli mereka turut hadir. Tetapi apabila perhimpunan itu dibatalkan, ahli PAS tidak bersemangat hadir," ujarnya.
Dalam hantaran berasingan, beliau berharap Peguam Negara membuat keputusan tidak berhasrat meneruskan pendengaran kes titah adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 September nanti.
0 Ulasan