UMNO protes parti gabungan Kerajaan Perpaduan terima bekas ahli


UMNO akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang bercadang mahupun yang telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada UMNO ke dalam parti masing-masing. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian dalam kenyataan media yang diedarkan selepas mesyuarat MKT parti malam tadi.

"Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan," tegasnya.

Baru-baru ini, tindakan PKR menerima bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mencetuskan kemarahan akar umbi parti.

Sementara itu, Asyraf berkata, UMNO memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambang kedaulatan negara. 

"Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, UMNO bersyukur ke hadrat Allah dan menyambut baik keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkaitan titah adendum agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi. 

"Keputusan ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat Najib dan akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan buat Najib," jelasnya.

Asyraf turut menyatakan,  UMNO amat dukacita dan cukup terhiris dengan tragedi kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata, pengendalian kes itu yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.

"UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

"Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat arwah Zara Qairina," katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan