Serangan berterusan terhadap Akmal bukti DAPSY bebal politik

 

Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang berterusan menyerang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh sebagai tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kebebalan politik yang gagal memahami konteks sebenar isu yang dibangkitkan.

Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, serangan DAPSY terhadap Dr. Akmal berlaku meskipun isu berkenaan tidak melibatkan sebarang sentimen politik kepartian.

“Tindakan DAPSY yang terus-menerus menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dengan menyerang Dr. Akmal walaupun isu sebenar langsung tidak melibatkan sentimen politik kepartian adalah satu tindakan yang bebal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, teguran Dr. Akmal dibuat atas dasar semangat patriotisme dan tanggungjawab nasional terhadap pengawasan simbol negara.

“Beliau tidak menyentuh mana-mana parti politik. Namun, DAPSY lebih memilih untuk menyasarkan kritikan kepada beliau, seolah-olah ingin mengalihkan perhatian daripada kecuaian sebenar yang berlaku,” ujarnya.

Menurut Hafiz, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana DAPSY sebelum ini juga pernah menyerang Dr. Akmal dalam isu lain walaupun teguran yang diberikan jelas tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak secara langsung.

“Ketika isu penjualan label ‘daging ham’ di Universiti Malaya, teguran jelas ditujukan kepada pihak KK Mart dan agensi yang bertanggungjawab, tetapi DAPSY tetap memilih untuk menyerang Dr. Akmal.

“Dan kini, dalam isu bendera terbalik, reaksi mereka masih sama iaitu menuding jari kepada Akmal Saleh.

“Apa sahaja yang ada kaitan dengan keculaan masyarakat Tionghua, DAP akan tampil ke depan mengkritik Dr. Akmal berbanding bercakap hal sebenar,” katanya.

Hafiz berkata, sikap DAPSY itu menimbulkan persoalan besar mengenai motif sebenar serangan mereka terhadap Ketua Pemuda UMNO.

“Sikap ini menimbulkan persoalan besar: adakah DAPSY menyimpan agenda tersembunyi untuk terus melemahkan Ketua Pemuda UMNO? 

"Atau adakah mereka mempunyai dendam politik terhadap beliau, yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan?” katanya.

Beliau menyifatkan sikap DAPSY itu sebagai satu bentuk kekeliruan antara isu kenegaraan dengan politik sempit.

“Apa pun niat mereka, saya sifatkan ini sebagai kebebalan politik dan kegagalan memahami konteks sebenar. 

"DAPSY tampaknya keliru antara isu kenegaraan, semangat patriotik dan agenda politik sempit. Ini satu kebebalan politik yang sukar diterima.

“DAPSY perlu perbetul sikap ini jika benar ingin bekerjasama, berhenti menyerang secara membuta tuli, dan belajar untuk menilai isu berdasarkan konteks, bukan emosi atau dendam politik peribadi,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan