Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh membidas kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan, Yap Yee Vonne yang mendesaknya memohon maaf secara terbuka kononnya kerana menghina komuniti orang kurang upaya (OKU) menerusi satu kenyataan yang disalah tafsir.
Menurut beliau, kenyataan yang dimaksudkan sebenarnya ditujukan kepada DAPSY, bukan kepada komuniti OKU seperti yang didakwa.
“Sebab tu pentingnya rakyat negara Malaysia ini untuk faham bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara kita. Bila tak faham, buat-buat faham dan mula lah melalut DAPSY ni.
“Lain kali pergi belajar bahasa Melayu dengan baik jika nak jadi pemimpin dalam negara Malaysia ini, ok?
"Kalau tak, nanti nampak bebal sangatlah. Malu kat orang lah, ayat mudah pun tak faham,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Yee Vonne dalam satu kenyataan menuduh Akmal mengeluarkan kenyataan yang menghina komuniti OKU, apabila beliau dilaporkan menulis: “Tolong bagi mereka ni cermin dan kad OKU sekali. Malas nak taip panjang-panjang dah, sebab bebal sangat nak faham.”
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai “amat menghina dan satu penghinaan terus kepada komuniti OKU yang mewakili kira-kira 15 peratus daripada populasi Malaysia.”
“Adakah Akmal cuba menyatakan bahawa golongan OKU ini kurang bernilai? Kurang layak dihormati? Kurang berkemampuan?” soalnya sambil menambah bahawa sebagai seorang doktor perubatan, Akmal sepatutnya lebih memahami bahawa kecacatan adalah keadaan perubatan, bukan satu pilihan.
Yee Vonne turut memetik sumbangan komuniti OKU dalam pelbagai bidang termasuk kejayaan para atlet paralimpik yang mengharumkan nama negara di pentas dunia serta rakan sekerjanya yang merupakan pemegang kad OKU dan mengetuai pelbagai program kemasyarakatan.
“Saya bekerjasama rapat setiap hari dengan seorang rakan sekerja yang merupakan pemegang kad OKU.
"Beliau berinteraksi dengan penduduk, mengurus pelbagai aduan masyarakat dan memimpin program jangkauan yang memberi kesan sebenar dan berkekalan. Sumbangannya sama penting seperti kami yang lain, malah mungkin lebih besar lagi,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Dr. Akmal sebagai pemimpin negeri yang sepatutnya memperjuangkan keterangkuman, bukan mengukuhkan stereotaip.
“Sebagai anggota kerajaan negeri Melaka, Akmal sepatutnya bersama-sama memperjuangkan keterangkuman, bukan mengukuhkan persepsi negatif.
"Pandangan beliau amat membimbangkan. Bagaimana rakyat boleh mempercayai pemimpin seperti ini untuk merangka dan melaksanakan dasar yang adil dan saksama untuk semua, termasuk golongan bukan OKU?” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan siasatan berhubung isu bendera terbalik di SJK(C) terbabit sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dan polis, dan sebarang kecuaian wajar diserahkan kepada saluran undang-undang.
“Tiada keperluan untuk menjadikan ia modal politik atau mencetus ketegangan kaum tanpa sebab,” katanya.
Yee Vonne menegaskan: “Akmal mesti mengemukakan permohonan maaf secara terbuka – bukan sahaja kepada pimpinan DAPSY tetapi kepada seluruh komuniti OKU.”
0 Ulasan