Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Selain itu, satu kajian yang terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.
"Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.
"Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal," menurut kenyataan media yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Baginda telah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Selangor, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.
Baginda turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar. "Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri," jelas kenyataan itu.
Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor sentiasa terpelihara.

0 Ulasan