"Jangan lupa penyapu untuk diberi" Akmal sindir Khir Toyo masuk Bersatu

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyindir bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam laporan Malaysiakini hari ini, Dr. Khir menyatakan bahawa UMNO kini sedang dibersihkan daripada pemimpin yang menyebabkan parti itu ditolak rakyat.

Mengulas laporan tersebut, Dr. Akmal berkata, proses pembersihan dalam UMNO sedang berjalan dan disambut baik oleh akar umbi.

“Alhamdulillah UMNO kini sedang dibersihkan dari pemimpin yang membuatkan UMNO ditolak oleh rakyat sebelum ini.

“Jangan lupa penyapu untuk diberi ya. Rakyat tidak akan lupa, tidak kira ke mana kamu pergi,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Dr. Khir mengesahkan kepada portal berita itu bahawa beliau telah menyertai Bersatu sejak 1 Julai lalu kerana tidak lagi melihat UMNO sebagai parti yang dominan dalam politik negara.

“Menang atau kalah (dalam pilihan raya), kita serah kepada Tuhan. Tetapi jika kita mahu menjadi parti dominan, kita mesti berusaha dan bertanding di semua kerusi.

“Tetapi kalau asyik berlindung bawah ketiak Perdana Menteri, macam mana nak jadi dominan?

“Dan saya lihat Bersatu ada cita-cita untuk menjadi dominan. Sebab itu saya sertai mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik turut mengesahkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di Facebook yang disertakan gambar beliau dan Dr. Khir makan tengah hari bersama beberapa individu lain.

Mengulas lanjut, Dr. Khir berkata UMNO kini hanya memainkan peranan sebagai parti pelengkap dalam kerajaan, khususnya kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ini jelas apabila jumlah kerusi yang ditandingi UMNO dalam pilihan raya semakin berkurangan dan tidak melebihi rakan gabungan seperti PKR.




Catat Ulasan

0 Ulasan