SKMM siasat Muhyiddin atas saranan Pejabat PM

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan siasatan segera dan sewajarnya berhubung satu dakwaan yang dinafikan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seperti yang disarankan Pejabat Perdana Menteri.

SKMM dalam kenyataan media semalam berkata, tindakan itu akan dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“SKMM mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Muhyiddin dalam kenyataan kelmarin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu subsidi RON95.

“Saya terkejut mendengar tuduhan Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini (5 Ogos 2025) bahawa saya mempertahankan orang asing dalam isu RON95.

“Antara lain Perdana Menteri berkata: ‘Saya dengar ada juga Ahli Parlimen yang pertahankan orang asing. Pagoh kata kenapa bebankan orang asing kerana orang asing pun ada sumbangan kepada negara'.

“Saya menafikan sekeras-keras tuduhan tersebut kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian sama ada dalam bentuk kenyataan media, sidang media atau menjawab pertanyaan wartawan.

“Saya mencabar Perdana Menteri supaya mengemukakan bukti sumber kenyataan saya itu.

“Tuduhan Perdana Menteri jelas merupakan satu pembohongan di Dewan Rakyat,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan